PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak gentar dengan sebarang ugutan dan tuduhan yang dilemparkan oleh mana-mana pihak kononnya agensi itu melakukan siasatan terpilih membabitkan kes berprofil tinggi.
Menegaskan kepada Utusan Malaysia, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, walaupun ada pegawai kanan mereka menerima mesej-mesej berbaur ugutan tetapi ia langsung tidak menjejaskan siasatan yang dilakukan.
Malah kata beliau, SPRM akan tetap meneruskan siasatan kes-kes rasuah dan salah guna kuasa yang diadukan kepada mereka mengikut peruntukan undang-undang di bawah bidang kuasa agensi berkenaan.
UGUTAN
“Hasil tindakan kita sejak kebelakangan ini menyebabkan ada pegawai kanan kami menerima ugutan daripada sesetengah pihak. Mereka membuat ugutan tertentu kerana kita ambil tindakan tegas.
“Ugutan-ugutan ini walaupun kita terima, kita akan teruskan juga usaha dalam menyiasat kes-kes rasuah.
“Selain itu, saya juga telah arahkan pegawai terlibat untuk membuat laporan polis (selepas menerima mesej berbaur ugutan),” katanya di sini semalam.
Dalam pada itu, Azam berkata, sudah menjadi tanggungjawab SPRM untuk menjalankan siasatan sekiranya ada maklumat atau aduan berunsur rasuah yang perlu disiasat.
“Kami tidak ada polisi siasatan terpilih. Sesiapa sahaja yang menyebabkan kerugian atau ketirisan dana kerajaan atau wang rakyat akan disiasat.
“Saya ini sudah lama bekerja, jadi tohmahan terhadap SPRM umpama itu sudah menjadi satu kelaziman untuk diperkatakan oleh pihak tertentu yang mempunyai agenda politik,” jelasnya.
HAK
Azam memberitahu, masing-masing mempunyai hak untuk mengeluarkan sebarang kenyataan atau pendapat tetapi perkara paling penting bagi SPRM adalah meneruskan siasatan.
“Itu tanggungjawab kami, kalau ada mana-mana pihak tohmah kami mengatakan siasatan terpilih atau tidak, terpulanglah. Itu hak masing-masing nak cakap begitu, saya tidak boleh menghalang kerana masing-masing ada hak untuk bercakap.
“Tapi perlu diingat, saya juga ada hak untuk bercakap bahawa kami tidak ada polisi siasatan atau pendakwaan terpilih,” jelasnya.
Dalam perkembangan berasingan, ditanya mengenai perkembangan siasatan membabitkan pegawai di Kementerian Dalam Negeri (KDN) berhubung ketirisan perjanjian sukuk bernilai RM596 juta, Azam berkata, sesiapa sahaja yang terlibat dalam kes itu sudah pasti akan dipanggil.
“Tidak kira daripada mana-mana kementerian sekali pun, kalau sekiranya ada penglibatan pegawai KDN, kita akan panggil untuk bantu siasatan. Sesiapa yang terlibat kita akan bawa ke tengah kes ini,” katanya. – UTUSAN










