Terpaksa buang tilam, pakaian terendam banjir - Utusan Malaysia

Terpaksa buang tilam, pakaian terendam banjir

ROHAINI OTHMAN menunjukkan dua tilam yang terendam air banjir yang terpaksa dibuang kerana tidak boleh digunakan lagi di rumahnya di Kampung Palembang Baru, Kluang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLUANG: Tilam dan pakaian yang terendam banjir hampir seminggu terpaksa dibuang kerana tidak lagi boleh digunakan.

Bukan itu sahaja, ada juga penduduk terpaksa membuang peralatan elektrik kerana rosak akibat tidak bersedia dengan kejadian banjir kali kedua berlaku di Kampung Palembang Baru, di sini.

Seorang penduduk, Rohaini Othman, 45, berkata, ketika banjir pada Januari lalu, paras air hanya setakat pinggang dan semua barang ditempatkan atas meja serta rak yang dibina khas untuk menghadapi bencana itu.

Namun, keluarganya tidak menyangka peristiwa 2007 berulang apabila air naik hampir dua meter dan menenggelamkan semua barang yang disimpan di atas rak berkenaan. 

“Selepas lapan hari di PPS dan melihat kerosakan yang berlaku, hampir bercucuran air mata mengenangkannya apatah lagi hanya tinggal kira-kira dua minggu lagi kita mula menjalani ibadah puasa. 

“Kebanyakan barang tidak lagi boleh digunakan, menyebabkan persiapan untuk menyambut Ramadan dan Syawal hanya ala kadar sahaja,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Jumaat, 70, dan isterinya, Sumiyati Parman, 60, berkata, semua peralatan elektrik serta perabot di dalam rumah mereka ditenggelami air. 

“Sebelum menggunakan semula barang-barang elektrik ini, kami akan menggunakan khidmat pihak yang boleh membuat penilaian sama ada boleh digunakan semula atau tidak.

“Hanya tilam yang baru dibeli awal Februari lalu dapat diselamatkan selepas dibungkus rapi dengan plastik tebal sebelum meninggalkan rumah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN