Tengku Hassanal kurnia darjah kebesaran, pingat Pahang kepada 170 penerima - Utusan Malaysia

Tengku Hassanal kurnia darjah kebesaran, pingat Pahang kepada 170 penerima

TENGKU HASSANAL IBRAHIM ALAM SHAH Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (kanan) memakaikan pingat SAP kepada seorang penerima di Temerloh, Pahang. - UTUSAN/ SALEHUDIN MAT RASAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEMERLOH: Seramai 170 penerima menerima darjah dan pingat kebesaran Pahang sempena ulang tahun Hari Keputeraan Ke-64 Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Dewan Tun Razak Temerloh di sini.

Istiadat penganugerahan disempurnakan oleh Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Majlis tersebut mencatatkan sejarah tersendiri kerana ia diadakan di luar Istana Abu Bakar, Pekan.

Pada istiadat berkenaan, 15 orang menerima pingat Setia Ahmad Shah Pahang (SAP), Setia Mahkota Pahang (SMP) 24 orang, Ahli Ahmad Shah (AAP) 18 orang, Ahli Mahkota Pahang (AMP) 31 orang, Pingat Khidmat Cemerlang (PKC), 24 orang, Pingat Kelakuan Terpuji (PKT) 23 orang dan 35 orang menerima Pingat Jasa Kebaktian (PJK).

Seorang penerima pingat SAP, Profesor Dr. Madzlan Aziz, 61, dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) teruja menerima anugerah ini yang disifatkan sebagai
‘anugerah diraja’ yang tidak ternilai’.

Menurutnya, ia anugerah kali pertama diterimanya di luar universiti dan begitu dihargai setelah berkecimpungan sebagai pakar bahan kimia bateri selama lebih 20 tahun.

Naib Canselor (Pembangunan) Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai, Prof Dr. Mohd. Hamdan Ahmad, 59, pula berbangga kerana menerima pingat SAP daripada Pemangku Raja Pahang.

“Sebagai anak Pahang, anugerah ini sangat bererti buat saya kerana Istana Pahang sentiasa menyantuni rakyatnya walaupun di mana sahaja berada,” katanya.

Beliau berkata, selaku anak nelayan di Nenasi, Pekan dekat sini, anugerah ini diibaratkan sebagai ‘setinggi mana bangau terbang, akhirnya hinggap di belakang kerbau’ juga.

Bagi bekas tentera, Suhaimin Mohamed, 78, dari Raub menyifatkan anugerah AMP ke atas dirinya menunjukkan Istana Pahang tidak melupakan veteran tentera yang berbakti kepada negara era 1960-an. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya