BANGKOK: Kontinjen Malaysia berjaya melepasi sasaran yang ditetapkan untuk mengutip 200 pingat tanpa mengira warna di temasya Sukan SEA Thailand 2025.
Kutipan pingat kontinjen negara dijangka terus bertambah ketika temasya terbesar di rantau Asia Tenggara itu masih berbaki dua hari lagi sebelum ditutup secara rasmi, esok.
Sehingga laporan ini ditulis, kontinjen Malaysia telah mengutip 45 emas, 48 perak dan 108 gangsa untuk menjadikan jumlah terkumpul ketika ini ialah 201 pingat secara keseluruhan.
Antara sukan yang cemerlang pada edisi kali ini ialah olahraga yang mengutip lima emas, lima perak dan enam gangsa untuk mengumpul 16 pingat secara keseluruh buat kem negara.
Selain itu, gimnastik menyumbangkan empat pingat emas, manakala muay thai, wushu, basikal trek dan silat pula menyumbang tiga emas, manakala kriket, karate, menembak, snuker, skuasy dan renang (dua emas).
Berdasarkan kutipan pingat emas, kontinjen negara juga sudah mengatasi pencapaian edisi 2023 apabila meraih 45 emas berbanding 34 emas ketika penganjuran di Kemboja.
Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Jefri Ngadirin berkata, sasaran kontinjen negara ketika ini ialah untuk melepasi negara-negara jiran untuk merebut tempat yang terbaik.
“Sekarang sasaran kontinjen adalah untuk memintas negara jiran (bagi merebut kedudukan lebih baik). Kita sedang menjejaki kedudukan kontinjen Singapura.
“Saya anggarkan mereka hanya mempunyai baki sekitar 15 ke 20 pingat di peringkat mereka. Sebaliknya, kita mempunyai peluang untuk meraih lebih kurang 20 pingat emas lagi yang boleh dicapai,” katanya ketika ditemui.
Jelasnya, keyakinan itu disandarkan kepada potensi kira-kira 12 pingat emas mampu dicapai semalam, sekaligus memadam rekod suram pencapaian di Sukan SEA Kemboja lalu.
Di Kemboja, Malaysia sekadar di kedudukan tujuh terbaik apabila hanya mampu membawa pulang 34 pingat emas, 45 perak dan 96 gangsa (175 keseluruhan).
Lebih perit, Singapura ketika itu cemerlang dengan mengutip 51 emas, 43 perak dan 64 gangsa (158 pingat), manakala Filipina pula di kedudukan lima terbaik dengan 58 emas, 86 perak, 116 gangsa (260 keseluruhan).
“Alhamdulillah, kita melepasi sasaran 200 pingat. Jadi fokus kita adalah merebut tempat terbaik menerusi peluang pada baki temasya, termasuk acara sepak takraw yang berlangsung pada 20 haribulan (esok),” tambahnya.
Mengulas prestasi semasa, Jeffry meluahkan rasa puas hati terhadap atlet negara, terutamanya barisan pelapis muda yang berjaya memecahkan rekod kejohanan dan rekod kebangsaan.
“Sukan muay thai menjadi contoh terbaik apabila berjaya menyumbang tiga pingat emas jauh mengatasi sasaran awal satu emas yang ditetapkan.
“Kita sangat berpuas hati. Atlet muda telah membuktikan kemampuan meraih emas. Kita harap momentum prestasi terbaik ini dapat diteruskan sehingga hari penutup,” ujarnya. – UTUSAN










