PETALING JAYA: Silibus pengajian di universiti perlu menawarkan latihan kemahiran tertentu bagi menjamin kebolehpasaran graduan selari dengan kehendak industri.
Antara latihan yang boleh ditawarkan adalah perisian komputer, analisis data, kemahiran mengurus tadbir, pemasaran serta keusahawanan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Mohd. Effendy Abdul Ghani menyifatkan, dengan penambahan kemahiran, mereka mempunyai peluang lebih cerah untuk mendapat pekerjaan dalam bidang masing-masing kerana pemain industri bukan hanya melihat dari sudut pengalaman semata-mata.
Katanya, sebab itu Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) wajar dijadikan contoh kerana program tersebut menawarkan latihan kemahiran.
“Graduan memerlukan latihan praktikal dan kebanyakannya masih perlu dilatih oleh syarikat selepas diterima bekerja tetapi majikan sudah tentu hanya melihat dari sudut perniagaan, jadi praktikal bukan keutamaan mereka.
“Sebab itu, TVET dilihat sebagai program terbaik untuk graduan kerana mereka boleh mendapat kemahiran yang bersesuaian dengan pekerjaan ditawarkan industri.
Graduan bukan sahaja dapat menambah kemahiran, menimba pengalaman tetapi juga bersedia untuk menggantikan pekerja sedia ada,” katanya ketika dihubungi.
Beliau mengulas desakan supaya silibus pengajian di universiti selari dengan keperluan industri agar gaduan kekal relevan dengan kehendak pasaran kerja.
Ini kerana universiti masih menggunakan silibus serta latihan industri yang agak ketinggalan terutamanya di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) sehingga menyukarkan mahasiswa mendapatkan tempat menjalani latihan praktikal dan pekerjaan yang sesuai.
Kebanyakan universiti swasta telahpun melaksanakan pendekatan tersebut termasuk membawa masuk pemain-pemain industri menjadi tenaga pengajar jemputan menjadikan pembelajaran lebih realistik dan tidak bergantung kepada pengajaran teori semata-mata.
Bagaimanapun, Mohd. Effendy menyifatkan pihak IPT dan industri perlu menjalin kerjasama yang lebih rapat bagi memastikan tiada graduan yang menganggur atau tidak layak memohon pekerjaan dalam bidang diceburi di masa akan datang.
“IPT sudah menyediakan laluan untuk graduan dan hala tujunya tetapi peluang masuk industri pula agak terbatas kerana soal tertentu seperti bayaran elaun dan sebagainya, sehingga menyebabkan graduan bukan lagi aset industri.
“Industri pula kena terbuka untuk mengambil pelajar praktikal dan graduan yang berpotensi,” katanya.
Katanya, kerajaan juga perlu membantu pihak industri supaya mereka tidak terbeban dalam soal pengambilan pekerja baharu. – UTUSAN










