Siasat ancaman bunuh Radja Band secara terperinci - Konsul Jenderal - Utusan Malaysia

Siasat ancaman bunuh Radja Band secara terperinci – Konsul Jenderal

Sigit S. Widiyanto
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Konsul Jenderal Republik Indonesia (KJRI) di Johor Bahru, Sigit S. Widiyanto mendesak pihak berkuasa membuat siasatan terperinci tentang ancaman bunuh terhadap kumpulan muzik popular Indonesia, Radja Band.

Pihaknya dimaklumkan bahawa dua individu yang ditahan sebelum ini telah dibebaskan selepas membayar wang jaminan.

“KJRI Johor Bahru berharap Polis Johor akan bersikap profesional dalam menangani kes ini, bersesuaian dengan kesalahan yang dilakukan individu terlibat. Pihak Radja Band juga berharap siasatannya telus, mereka maklumkan kepada kami bahawa masih trauma dan takut dengan kejadian itu,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Katanya, Radja Band telah melakukan yang terbaik untuk konsert pertama mereka di negeri ini, namun tidak menyangka situasi sedemikian akan berlaku.

Sabtu lalu, Radja Band mendakwa menerima ancaman bunuh usai mengadakan konsert di Stadium Tertutup Arena Larkin dan membuat laporan di Ibu pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan, keesokannya.

Sementara itu, penganjur konsert, Mimosa Events and Entertainment dalam satu kenyataan memohon maaf kepada Radja Band  dan beberapa pihak yang terlibat atas insiden yang berlaku.

“Kami juga kesal imej acara yang telah berlangsung dengan gilang-gemilang ini telah tercalar dengan insiden yang tidak diingini ini. Salam maaf ini juga dipanjangkan kepada pihak Tourism Johor, Konsul Jenderal  Republik Indonesia di Johor Bahru serta semua pihak yang terkesan berhubung perkara ini.

“Sehubungan itu, kami ingin maklumkan laporan tersebut tidak menggambarkan keadaan sebenar yang berpunca daripada salah faham mengenai komitmen komersial dan operasi sewaktu acara terbabit berlangsung. Perbincangan yang pada mulanya berjalan dengan aman telah menjadi panas dan berlaku sedikit kekecohan, namun masih dalam keadaan terkawal.

“Setelah diselidiki, Kumpulan Radja langsung tidak tahu mengenai isu yang dibangkitkan sebelum dan semasa konsert berlaku kerana kesemua komunikasi pihak penganjur bersama kumpulan tersebut hanyalah melalui Pengurus Tempatan untuk kumpulan tersebut secara eksklusif,” demikian menurut kenyataan berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya