KOTA TINGGI: Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) yang bakal dilaksanakan di Kota Tinggi perlu disegerakan supaya masalah banjir yang kerap berlaku di daerah ini dapat diatasi.
Ahli Parlimen Kota Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, dua projek tebatan dengan kos berjumlah RM700 juta daripada kerajaan Persekutuan dengan satu daripadanya selesai proses tender, manakala satu lagi sedang dalam proses yang sama.
“Saya dalam (mesyuarat) Kabinet pun ada maklumkan supaya disegerakan untuk ditender projek ini kerana kita berharap jika ia dapat dimulakan segera, dapatlah kita memastikan banjir di Kota Tinggi ini yang kerap berlaku tidak lagi berlaku.
“Kedua-dua projek tebatan banjir yang besar itu diumumkan oleh Perdana Menteri melibatkan kos lebih kurang RM700 juta,” katanya selepas melakukan lawatan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Mawai, di sini hari ini.
Mohamed Khaled yang juga Menteri Pendidikan Tinggi memaklumkan pihak kementerian sudah mengenal pasti penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) yang terkandas akibat banjir.
“Memang ada, sudah dikenal pasti ada pelajar yang terkandas dan sebagainya. Itu universiti masing-masing akan beri perhatian dan akan ambil peranan bagaimana boleh menyumbang mengurangkan kesan kepada mereka.
“Tetapi untuk lain-lain sumbangan universiti kita akan masuk selepas banjir ini tamat untuk membantu kerja-kerja membersihkan rumah dan sebagainya itu memang kita ada dalam perancangan tidak boleh lakukan sekarang sebab banjir belum selesai, ” katanya.
Pada masa ini, hanya Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Segamat yang dilaporkan terjejas akibat banjir di negeri ini. – UTUSAN