ALOR SETAR: Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor diminta menjelaskan mengapa beliau perlu mengeluarkan kenyataan tidak benar dan hanya menimbulkan kontroversi murahan berhubung dakwaan dihalang daripada menghadiri majlis Kerajaan Persekutuan.
Ketua Penerangan UMNO negeri, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, Muhammad Sanusi sepatutnya menjunjung titah Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah ketika merasmikan Mesyuarat Pertama Penggal Keenam, Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah Ke-14, baru-baru ini.
Katanya, dalam titah tersebut, baginda secara jelas mengingatkan semua pihak agar mengelak budaya politik berlebihan hingga menjejaskan hubungan antara satu sama lain khususnya antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan.
“Adalah sesuatu yang counter productive sekiranya Muhammad Sanusi mengeluarkan kenyataan tidak benar, kemudian play victim pula.
“Berkemungkinan beliau mahu mendapat simpati rakyat dan mahu menimbulkan persepsi negatif terhadap Kerajaan Perpaduan.
“Saya yakin Kerajaan Perpaduan sama sekali tidak akan memencilkan rakyat Kedah walaupun mempunyai Menteri Besar berjiwa kecil dan penuh dengan lakonan,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.
Tambah Shaiful Hazizy, semua pihak juga harus sedar bahawa berpolitik perlu ada hadnya.
“Apa yang kita lihat, Muhammad Sanusi tidak bersungguh-sungguh malah seolah-olah langsung tidak peduli dalam usaha mahu menjaga keharmonian hubungan tersebut,’’ katanya. – UTUSAN










