RUU sumbangan politik dirujuk jawatankuasa khas Parlimen

RUU sumbangan politik dirujuk jawatankuasa khas Parlimen 

RUU sumbangan dana politik akan dirujuk kepada jawatankuasa khas yang akan diwujudkan selepas ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang (RUU) berkaitan sumbangan politik akan dirujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen yang akan diwujudkan tidak lama lagi, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said. 

Bagaimanapun, katanya, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul akan mengumumkan jawatankuasa tersebut nanti dan rang undang-undang berkenaan akan dirujuk kepada salah satu jawatankuasa itu. 

“Saya akan jawab secara bertulis tetapi secara terperinci ialah kita akan rujuk kepada jawatankuasa pilihan seperti yang telah dibincang. 

“Saya rasa speaker akan buat pengumuman kepada pewujudan jawatankuasa pilihan dan akta dana poolitik akan akan dirujuk kepada salah satu jawatankuasa tersebut,” katanya semasa menggulung perbahasa Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2023 bagi jabatan itu di Dewan Rakyat hari ini. 

Sebelum itu, Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) meminta kepada Johari supaya memberi lebih masa sekurang-kurangnya 10 minit supaya Azalina boleh menjawab  semua persoalan mengenai rang undang-undang sumbangan politik. 

Poay Tiong dan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mencadangkan supaya rang undang-undang sumbangan politik disegerakan oleh kerajaan. 

Bagaimanapun, Azalina tidak dapat menghabiskan penggulungannya mengenai perkara itu kerana kesuntukan masa. 

Beliau akan menjawab persoalan tersebut secara bertulis. 

Februari lalu, Utusan Malaysia melaporkan, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, rang undang-undang berkaitan sumbangan politik sudah siap, cuma memerlukan Azalina mendapatkan kelulusan Jemaah Menteri untuk dibentang di Parlimen.

Penganalisis politik sebelum menggesa supaya kerajaan membentangkannya pada mesyuarat Parlimen bulan lalu, kerana ia sudah lama tertangguh. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN