Pura-pura jadi mangsa rompakan demi rompak duit rakan kongsi - Utusan Malaysia

Pura-pura jadi mangsa rompakan demi rompak duit rakan kongsi

MANGSA terbaring dipercayai diketuk oleh suspek menggunakan topi keledar sebelum bertindak menyamun wang yang baharu dikeluarkan dalam kejadian pada 14 Februari lalu di sebuah bank di Jalan Beserah di Kuantan, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Seorang lelaki sanggup berpura-pura menjadi mangsa rompakan dengan bersuhabat dengan dua rakannya bagi merompak wang milik rakan kongsinya bernilai RM150,000 di sebuah bank di Jalan Beserah di sini, 14 Februari lalu.

Ketua polis daerah, Asisten Komisioner Wan Mohd. Zahari Wan Busu berkata, pada 15 Februari lalu, polis mengesan video tular di media sosial berkaitan kejadian seorang lelaki terbaring di atas jalan di Jalan Beserah dipercayai disamun setelah keluar dari sebuah bank di situ.

Beliau berkata, setelah semakan dibuat, didapati bahawa pada 14 Februari lalu kira-kira pukul 2.40 petang, Pusat Kawalan Daerah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) menerima panggilan orang awam memaklumkan kejadian terbabit.

“Siasatan awal mendapati, pada 14 Februari lalu, pukul 2.15 petang, mangsa mendakwa disamun dua lelaki menaiki sebuah motosikal di hadapan bangunan sebuah bank di Jalan Beserah. Dalam kejadian ini, mangsa terjatuh hingga terbaring atas jalan dan suspek turut melarikan wang tunai RM150,000 yang baru dikeluarkan oleh mangsa.

“Bagaimanapun, setelah siasatan lanjut dijalankan, didapati kejadian ini dirancang oleh mangsa sendiri bersama dua lagi rakan subahatnya untuk merompak wang milik rakan kongsi mangsa dengan mangsa berpura-pura menjadi mangsa samun.

“Rompakan tersebut berjaya dan wang tunai milik rakan kongsinya itu telah disalahgunakan oleh mangsa,” katanya dalam kenyataan di sini.

WAN MOHD ZAHARI WAN BUSU

Mengulas lanjut, Wan Mohd. Zahari berkata, mangsa yang berusia 41 tahun dan dua lagi rakannya berusia 48 tahun dan 63 tahun telah pun dituduh di Mahkamah Majistret Kuantan pada Selasa lalu.

“Mangsa dituduh di bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan atas kesalahan menyalahgunakan harta secara curang, jika disabitkan kesalahan boleh dipenjara sehingga lima tahun, sebat dan denda.

“Dua lagi rakan mangsa dituduh dibawah Seksyen 109 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 403 Kanun Keseksaan atas kesalahan bersubahat bersama mangsa menyalahgunakan harta secara curang yang membawa hukuman yang sama,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya