Pengusaha bas sekolah minta pemeriksaan di Puspakom hanya sekali setahun - Utusan Malaysia

Pengusaha bas sekolah minta pemeriksaan di Puspakom hanya sekali setahun

J. Arul Kumar (tengah) menerima memorandum Sekretariat Industri Bas Sekolah Malaysia daripada Mohd. Rofik Mohd. Yusoff (kiri) sambil disaksikan oleh Timbalan Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan Negeri Sembilan, Sairin Dula selepas Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Persatuan Pengusaha Bas Sekolah Negeri Sembilan Kali Ke-21 di Seremban hari ini.-UTUSAN/NAZARUDIN SHAHARI.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Sekretariat Industri Bas Sekolah Malaysia (SIBSM) hari ini menyerahkan memorandum kepada Kementerian Pengangkutan meminta pemeriksaan bas sekolah secara berkala di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) dilaksanakan hanya sekali sahaja setahun berbanding setiap enam bulan ketika ini.

Presidennya, Mohd. Rofik Mohd. Yusoff berkata, kerajaan boleh memberi pertimbangan itu kerana pengusaha bas sekolah perlu menanggung kos yang tinggi setiap kali pemeriksaan dijalankan.

Beliau yang juga Pengerusi Gabungan Persatuan Pengusaha Bas Sekolah Malaysia berkata, pengusaha dikenakan bayaran RM98 untuk menjalani pemeriksaan itu tetapi kos lebih besar sehingga RM800 untuk van dan sehingga RM2,000 untuk bas besar bagi penukaran alat ganti seperti pam brek dan tayar sebelum diuji.

“Lebih banyak kos perlu ditanggung jika pemeriksaan itu gagal dan pengusaha perlu membayar RM57 untuk ulangan.

“Pada masa yang sama, pengusaha tidak boleh menghentikan perkhidmatan kepada murid dan terpaksa menyewa bas sekolah lain dengan kos tambahan,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Persatuan Pengusaha Bas Sekolah Negeri Sembilan Kali Ke-21 di sini hari ini.

Majlis perasmian itu telah disempurnakan oleh Setiausaha Politik Menteri Pengangkutan, J. Arul Kumar yang mewakili Loke Siew Fook.

Mohd. Rofik memberitahu, bas sekolah tidak boleh disamakan dengan perkhidmatan bas lain seperti bas ekspres dan bas pelancong yang bergerak hampir ke seluruh negara.

Jelasnya, bas sekolah hanya beroperasi lima hari seminggu atau 22 hari sebulan dengan radius operasi antara lima kilometer (km) sehingga 10 km.

“Penggunaan yang kurang ini tidak boleh disamakan dengan bas ekspres yang bergerak setiap hari dengan radius operasi beratus-ratus kilometer,” ujarnya.

Untuk rekod, SIBSM ditubuhkan pada 12 Mac lalu melibatkan tiga persatuan bas sekolah peringkat kebangsaan dan 29 persatuan di peringkat negeri. 

Tujuan utama penubuhannya ialah untuk memastikan perkara penting melibatkan tadbir urus industri bas sekolah dapat dicapai secara sebulat suara oleh para pengusaha bas sekolah di seluruh negara.

Dalam perkembangan lain, Mohd. Rofik menjelaskan, isu tambang bas sekolah untuk sesi persekolahan tahun ini yang ditimbulkan oleh sesetengah pihak telah pun diselesaikan.

“Saya difahamkan ia telah selesai. Konsep regulasi telah digunakan yang melibatkan hanya ibu bapa dan pengusaha bas sekolah dalam menentukan tambang bas sekolah tanpa campur tangan kerajaan dan persatuan bas sekolah,” katanya tanpa mengulas lanjut.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.