SEREMBAN: Belum ada sebarang maklum balas dari pihak PLUS Malaysia Bhd. (PLUS) berhubung permintaan kerajaan Negeri Sembilan supaya syarikat konsesi lebuh raya itu memasang lampu jalan di sepanjang Lebuhraya Seremban-Port Dickson.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, sememangnya menjadi tanggungjawab pengendali lebuh raya itu bagi menyediakan kemudahan tersebut namun sehingga kini tiada apa-apa tindakan mengenainya.
“Saya difahamkan bahawa negeri Johor juga minta supaya dipasang lampu di kawasan lebuh raya (Lebuhraya Utara Selatan) mereka, itu juga masih bergelap, syukur juga di Negeri Sembilan telah berlampu.
“Bagaimanapun di Lebuhraya Seremban-Port Dickson masih belum dan itu tanggungjawab PLUS untuk usahakan. Setakat ini PLUS belum respons.
“Saya minta pengguna jalan raya di situ untuk mematuhi had laju, jalan di situ tidak terlalu sibuk tetapi mereka perlu lebih cermat,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Negeri di sini semalam.
Semalam Utusan Malaysia sekali lagi melaporkan isu jalan gelap ekoran ketiadaan lampu jalan di sepanjang Lebuhraya Seremban-Port Dickson yang masih tidak diselesaikan.
Pengguna turut mendesak agar masalah berkenaan dapat diselesaikan segera pihak bertanggungjawab kerana menurut mereka keperluan pemasangan lampu jalan bagi menambah pencahayaan di situ penting bagi mengelak kejadian buruk termasuk kemalangan yang boleh meragut nyawa.-UTUSAN.










