KANGAR: Kerja-kerja pengerukan alur pelayaran bagi laluan feri penumpang dari Kuala Perlis ke Langkawi yang dijangka selesai Mei ini tidak menjejaskan penumpang untuk ke pulau peranginan itu khususnya semasa Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2023 (LIMA ‘23).
Pengerusi Jawatankuasa Pengangkutan negeri, Izizam Ibrahim berkata, Jabatan Laut sedang melaksanakan kerja-kerja pengerukan bagi mengatasi masalah mendapan selut dengan kos berjumlah RM26,578,450.
Katanya, kerja-kerja tersebut dilaksanakan sejak 21 Februari lalu.
“Selepas selesai kerja-kerja tersebut, tiada halangan untuk syarikat perkhidmatan feri untuk merapat di terminal feri Kuala Perlis dan dijangka pengoperasian feri akan dapat ditambah.
“Perkhidmatan feri juga dijangka ditingkatkan bersempena LIMA ‘23 pada Mei ini,” katanya dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis di sini semalam.
Beliau menjawab soalan Abu Bakar Hamzah (PN-Kuala Perlis) berhubung langkah atau keputusan kerajaan untuk mengatasi masalah perkhidmatan feri ke Langkawi yang hanya dapat beroperasi satu trip sehari berbanding tiga atau empat tahun lalu.
Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan, perkhidmatan feri yang tidak sekerap dulu berikutan masalah alur pelayaran cetek menyebabkan pengunjung yang menggunakan perkhidmatannya di terminal Feri Kuala Perlis semakin merosot sehingga 70 peratus.
Walaupun ada pihak menyatakan pelancong tempatan tetap ke Langkawi, namun jumlahnya tidak sama ketika feri disediakan setiap jam bermula 7 pagi hingga 7 malam. – UTUSAN










