Pencapaian luar biasa PN Pahang pada PRU15 terpahat dalam sejarah - Jasri - Utusan Malaysia

Pencapaian luar biasa PN Pahang pada PRU15 terpahat dalam sejarah – Jasri

JASRI JAMALUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Pencapaian luar biasa Perikatan Nasional (PN) Pahang menang 17 daripada 42 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu akan kekal terpahat dalam sejarah negeri ini buat selama-lamanya.

Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Maran, Datuk Jasri Jamaludin berkata, buat pertama kali dalam sejarah pilihan raya umum (PRU), DUN Pahang tergantung ekoran tiada satu parti pun memperoleh majoriti mudah bagi membentuk kerajaan negeri.

“Buat pertama kali dalam sejarah kerajaan Barisan Nasional (BN) Pahang hilang majoriti dua pertiga hingga terpaksa bekerjasama dengan DAP bagi membentuk kerajaan negeri.

“Ikut resmi Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, kata beliau dalam Nujum Pak Belakang, kekuatan Laksamana Hang Tuah terletak pada huruf Taa (T), tetapi kekuatan kita terletak di dua huruf Paa dan Nun iaitu PN.

“Gabungan mantap PN telah berjaya menterjemahkan kemenangan kita di negeri ini. Begitu juga jenama kita seperti ‘Abah’ dan PN Best. Bersatu dilihat sebagai alternatif yang lebih baik daripada UMNO dan pelengkap parti Pas di Pahang,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu, Jasri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Sentul berkata, pertuduhan terhadap Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin di mahkamah sebagai tidak munasabah.

Beliau berkata, ia merupakan pendakwan terpilih yang berniat jahat dengan agenda membunuh karakter kepimpinan parti tersebut.

“Kenapa hanya Muhyiddin didakwa? Kenapa Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Datuk Seri Fadillah Yusof tidak didakwa?

“Jawapannya mudah sahaja, kerana mereka berdua ini kini berada dalam kerajaan Madani pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Adakah ini keadilan yang dilaungkan oleh Anwar yang juga Presiden PKR?,” soalnya.

Beliau dalam pada itu menyeru semua ahli Bersatu untuk bangkit bersama-sama dan menunjukkan mereka tidak gentar walaupun berdepan dugaan serta rintangan.

“Bersatu Pahang akan terus menyokong kepimpinan Muhyiddin sebagai Presiden parti, kami sama sekali tidak akan membenarkan Presiden meletak jawatan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya