PETALING JAYA: Syarat-syarat tambahan seperti menyediakan tapak sekolah atau taman permainan yang dikenakan pihak berkuasa tempatan (PBT) adalah antara punca harga rumah terus melambung saban tahun.
Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Presiden Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda), Datuk N.K. Tong berkata, permintaan yang adakalanya di luar garis panduan Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) itu menyumbang kepada peningkatan kos selain turut melambatkan sesebuah projek pembinaan.
Menurut beliau, setakat ini peraturan yang disediakan KPKT untuk membangunkan projek perumahan sudah sempurna dan sepatutnya tidak ada keperluan lain untuk melakukan penambahan syarat.
“Namun apabila dirujuk kepada PBT, mereka menambah pelbagai syarat sehingga menelan kos serta melambatkan projek. Sebagai contoh, terdapat peningkatan penyerahan tanah di perbandaran selama ini untuk kemudahan awam seperti sekolah, taman permainan, jalan dan sebagainya.
“Selepas memenuhi permintaan itu kita tidak tahu sama ada ia dibangunkan atau tidak. Namun penyelidikan Rehda menunjukkan bahawa terdapat peratusan tinggi terhadap kos pematuhan dalam sebahagian projek akibat tambahan syarat dimohon PBT,” kata beliau.
BAHAN ASAS
Tong mengulas laporan akhbar ini mengenai harga rumah dijangka terus melambung ekoran kos bahan asas binaan yang mencatatkan kenaikan antara 15 ke 20 peratus.
Sebagai contoh, jika sebelum ini sebuah rumah dijual RM150,000, akan naik kepada RM180,000 seunit termasuk membabitkan rumah mampu milik di bawah projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA).
Ini sekali gus menyebabkan kesukaran khususnya bagi yang berpendapatan rendah dan sederhana untuk membeli rumah kerana tidak layak dan gagal memperoleh pinjaman bank.
Selain itu, Tong berkata, kekurangan tenaga kerja sektor pembinaan juga antara masalah utama menyebabkan peningkatan harga rumah.
Kata beliau, kerajaan perlu menyelesaikan isu tenaga kerja bagi memastikan harga rumah kekal di paras mampu dibeli.
“Kita kehilangan banyak (tenaga kerja) semasa pemerintahan kerajaan terdahulu, namun kerajaan hari ini betul-betul memandang serius mengenai perkara tersebut,” katanya.
KENAIKAN
Bagaimanapun, kata Tong, pihaknya mengakui kenaikan harga rumah tidak boleh dielak kerana turut dipengaruhi ekonomi negara dan juga global.
Menurut beliau, harga rumah tidak menunjukkan akan turun dan perkembangan itu sudah tentu menjadi cabaran untuk masyarakat membeli rumah kerana kenaikannya tidak padan dengan kemampuan pembeli.
“Kita tidak boleh mengawal kos pembinaan kerana ia fenomena global dan ekonomi Malaysia juga out of hand tetapi apa yang kita boleh kawal adalah seperti mempercepatkan kelulusan projek,” katanya.
Sementara itu, Yang Dipertua Persatuan Kontraktor Bumiputera Kelas F Malaysia (Perkobf Malaysia) Pahang, Norhamila Mohd. Datar turut bersetuju bahawa apa-apa syarat tambahan PBT akan mempengaruhi kenaikan kos rumah.
Menurut beliau, pemaju yang berdepan syarat tambahan itu sudah tentu menyerapkan kos tambahan tersebut kepada pembeli.
“PBT seharusnya memikirkan langkah penyelesaian terbaik membantu rakyat dengan mengurangkan beban dihadapi pemaju yang kini pening berikutan harga simen dan besi melonjak.
“Kalau hendak harga rumah murah, cukup keperluan asas yang digariskan kerajaan dan jangan mahu minta itu dan ini lagi,” katanya. – UTUSAN










