Pahang bincang dengan ADUN untuk bentang RUU Anti Lompat Parti - Utusan Malaysia

Pahang bincang dengan ADUN untuk bentang RUU Anti Lompat Parti

WAN ROSDY Wan Ismail (kiri) menyampaikan Bantuan Prihatin Pahang (BPP) kepada murid darjah satu di Sekolah Kebangsaan (SK) Mat Kilau di Kuantan, Pahang. - FOTO/SHAIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Kerajaan negeri akan mengadakan perbincangan dengan semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) untuk membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), Mei ini kerana usul berkaitan pindaan Perlembagaan Negeri perlu mendapat persetujuan dua pertiga wakil rakyat.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kerajaan negeri tidak akan membentangkan RUU itu jika tidak mendapat persetujuan daripada dua pertiga wakil rakyat.

“Kerajaan negeri sekarang tidak mendapat sokongan dua pertiga daripada wakil rakyat. Sekiranya kita mendapat persetujuan mereka, kita akan bentangkanlah.

“Kita akan bincang. Kalau mereka bersetuju kita bentang, kalau mereka tidak bersetuju kita nak bentang buat apa? Kita adalah cara kita (perbincangan bersama ADUN). Kita akan dapatkan persetujuan daripada mereka. Kalau mereka setuju, kita bentang,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Bantuan Prihatin Pahang (BPP) 2023 Kluster Murid Darjah Satu di Sekolah Kebangsaan (SK) Mat Kilau di sini hari ini.

Sehingga kini, hanya Selangor, Pulau Pinang, Perak, Perlis, Negeri Sembilan, Kelantan dan Sarawak sudah pun menguatkuasakan Enakmen Negeri masing-masing, berkaitan larangan bertukar parti di peringkat DUN.

Dalam pada itu, Wan Rosdy berkata, pada tahun ini, kerajaan negeri memperuntukkan sehanyak RM42.4 juta iaitu peningkatan RM8 juta berbanding tahun lalu yang akan memberikan manfaat kepada 218,193 orang penerima BPP.

“Kerajaan negeri telah memperkenalkan BPP bagi membantu rakyat di negeri ini menerusi pelbagai bentuk inisiatif melibatkan empat kluster utama iaitu Kluster Pelajar dan Anak Muda, Kluster Golongan B40, Kluster Masyarakat Umum dan Kluster Pemberian Apresiasi.

“BPP ini dimulakan ketika penularan wabak Covid-19 yang melanda dunia pada awal tahun 2020, tetapi selepas kita memasuki fasa endemik pada tahun lalu, bantuan ini tetap kita teruskan sehingga tahun ini,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya