SEPANG: Satu Rang Undang-Undang (RUU) baharu bakal diwujudkan bagi memudah cara operasi kawalan sempadan secara bersama (co-located) projek Sistem Transit Rapid (RTS Link) Johor Bahru-Singapura.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, RUU tersebut
dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat pada bulan Februari tahun hadapan.
Kata beliau, RUU itu akan memastikan kelancaran operasi, selepas kedua-dua negara bersetuju bahawa Bukit Chagar di Johor dan Woodlands North di Singapura akan menjadi lokasi bersama bagi stesen kastam, imigresen dan kuarantin (CIQ) bagi RTS Link.
Menurutnya, wujud keperluan untuk menggubal undang-undang baharu itu berikutan terdapat 37 akta sedia ada membabitkan sempadan yang perlu diubah.
“Kalau sudah sampai 37 akta, dalam satu akta tu ada seksyen (peruntukan undang-undang) yang mesti kita patuhi bagi membolehkan satu sahaja keputusan bersama boleh berjalan iaitu co-located.
“Jadi, pilihan yang kita ada adalah buat satu RUU baharu dengan mengambil kira semua keperluan seksyen dalam akta sedia ada iaitu 37 (akta), jadi item terperinci itu saya akan umumkan bila tiba masanya.
“Buat masa ini memadai saya hendak sebut pencapaian penting daripada sudut sistem undang-undang, kita kena adakan satu undang-undang baharu bagi membolehkan apabila operasi RTS Woodland-Bukit Chagar bermula, pergerakan orang ramai dan barangan mengikut undang-undang,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas melancarkan inisiatif Benteng Persada: Di Sempadan Kita Bersatu di Persada Kita Bermaruah oleh Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, undang-undang baharu itu diperlukan berikutan pelaksanaan kawalan sempadan secara bersama itu akan menyaksikan penempatan pegawai imigresen Malaysia di sempadan Singapura dan sebaliknya.
Mengambil kira AKPS yang akan beroperasi di kedua-dua stesen di Bukit Chagar dan Woodlands North, beliau berkata, pihaknya kini dalam usaha memperincikan keperluan pengoperasian.
“Kami sudah bangunkan senarai semak penyeluruh, termasuklah kita bangunkan SOP (prosedur operasi standard), perkukuh perjawatan, perolehan autogate, pengimbas dan lain-lain,” katanya.
Projek RTS Link dijadualkan siap sepenuhnya pada Disember 2026 dan mula beroperasi awal 2027, dengan perjalanan antara Bukit Chagar dan Woodlands North hanya mengambil masa lima minit.
RTS Link adalah laluan rel ulang alik sepanjang empat kilometer dengan dua stesen utama, masing-masing di Bukit Chagar, Johor Bahru dan Woodlands North, Singapura.
MRT Corp bertanggungjawab membangunkan bahagian Malaysia sepanjang 2.7 kilometer dengan kerjasama Prasarana Malaysia Bhd. dan SMRT Corp Ltd dari Singapura.
Laluan ini dijangka menjadi jambatan darat ketiga ke Singapura dan berupaya mengurangkan kesesakan di Tambak Johor yang kini mencapai kapasiti maksimum 10,000 penumpang sejam bagi setiap hala.-UTUSAN










