PETALING JAYA: Wanita jangan sangka memukul atau mendera suaminya boleh terlepas daripada dikenakan tindakan undang-undang kerana mereka boleh dipenjara atau didenda atau kedua-duanya jika disabit menganiaya pasangan rumah tangga.
Tanpa mengira lelaki atau wanita, perkara ini termaktub di bawah Seksyen 128 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam yang menyentuh perbuatan seseorang suami atau isteri yang dengan sengaja menganiaya pasangan hidup sepanjang melayari bahtera perkahwinan.
Berdasarkan undang-undang ini, seseorang suami atau isteri yang dengan sengaja menganiaya atau menipu harta pasangan adalah melakukan suatu kesalahan dan hendaklah dihukum denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.
Selain itu mahkamah boleh sebagai perintah tambahan, memerintahkan supaya dibayar pampasan bagi harta yang telah ditipu itu.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, peguam syarie, Nurul Syafawani Rahim berkata, tiada tafsiran secara nyata dan spesifik bagi maksud ‘menganiaya’ dan terbuka kepada pelbagai interpretasi termasuk dan tidak terhad kepada material, fizikal atau mental kepada pasangan.
Justeru katanya, peraturan ini juga merangkumi terhadap pasangan rumah tangga iaitu suami atau isteri yang berkawan dengan perempuan atau lelaki jahat atau hidup berperangai keji mengikut pandangan hukum syarak.
“Rujukan terhampir dapat dilihat di dalam Seksyen 53 (1) (h) (i) hingga (vi) akta atau enakmen Keluarga Islam yang menyebut mengenai bentuk tatalaku atau peninggalan tanggungjawab yang dikategorikan sebagai ‘penganiayaan’ antara suami isteri.
“Seksyen ini menyebut suami atau isteri menganiayai isteri atau suaminya iaitu antara lain iaitu menyakiti atau menjadikan kehidupannya menderita disebabkan oleh kelakuan aniaya, cuba memaksa isteri hidup secara lucah, melupuskan harta isteri atau suami dan melarang isteri atau suami itu dari menggunakan hak-haknya di sisi undang-undang terhadap harta itu.
“Selain itu, peraturan ini juga membabitkan tindakan menghalang isteri atau suami daripada menunai atau menjalankan kewajipan atau amalan agamanya. Kita juga boleh melihat misalan lain akan maksud ‘menganiaya’ bagi perbuatan mencederakan, memukul dan mendera. Ini kerana perbuatan memukul adalah suatu bentuk penganiayaan terhadap pasangan,” katanya ketika dihubungi semalam.
Pada baru-baru ini, timbul beberapa isu melibatkan penderaan kepada suami atau isteri apabila salah seorang daripada mereka didakwa memukul pasangan masing-masing kerana dipercayai wujud salah faham sesama mereka di samping kehadiran orang ketiga.
Mengulas lanjut, Nurul Syafawani berkata, suami atau isteri yang mendakwa dirinya dianianya boleh membuat aduan dan mengemukakan dokumen sokongan kepada Pegawai Penguatkuasa Agama Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Negeri masing-masing agar suatu siasatan secara terperinci dapat dijalankan.
“Seterusnya, jika terbuktinya kes penderaan kepada pasangan, kes pendakwaan akan dimulakan oleh Pendakwa Syarie di Mahkamah Syariah.
“Selain itu, ia juga boleh dimulakan oleh pendakwa raya menerusi platform mahkamah sivil di bawah Akta Keganasan Rumahtangga,” katanya.
Sementara itu, Nurul Syafawani menjelaskan, suami yang didapati tidak berlaku adil kepada isteri boleh didenda RM1,000 atau penjara maksimum enam bulan atau kedua-duanya di bawah Seksyen 129 enakmen Keluarga Islam.
Sebaliknya beliau menjelaskan undang-undang itu berbeza dengan Seksyen 128 (menganiaya isteri atau suami) kerana ia terpakai terhadap suami berpoligami yang gagal berlaku adil kepada isteri-isterinya. – UTUSAN










