Operasi polis Johor tak terjejas akibat banjir - Utusan Malaysia

Operasi polis Johor tak terjejas akibat banjir

KAMARUL ZAMAN MAMAT (dua dari kiri) memberi pesanan kepada pegawai dan anggota yang menyertai Misi Bantuan Pasca Banjir Polis Johor ke Kluang sebelum berlepas dari IPK Johor, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Operasi harian Polis Diraja Malaysia (PDRM) negeri ini tidak terganggu walaupun ada balai dan pondok polis terjejas akibat banjir yang melanda sejak awal bulan ini.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, balai dan pondok polis yang ditenggelami banjir ialah Balai Polis Chaah di Segamat, Balai Polis Panchor dan Pondok Polis Lenga di Muar serta hingga kini masih belum beroperasi.

“Kita tutup dahulu sementara operasi balai tersebut. Infrastruktur Balai Polis Chaah masih banyak rosak dan sumber elektrik telah dipotong manakala Balai Polis Panchor turut dihentikan sementara operasi kerana masih ditenggelami air,” katanya selepas melancarkan Misi Bantuan Pasca Banjir Polis Johor di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini.

Seramai 150 pegawai dan anggota polis negeri ini menyertai misi tersebut bagi membantu membersihkan perumahan polis serta penduduk yang terjejas daerah Kluang dan akan diperluaskan ke daerah lain yang terjejas secara berperingkat-peringkat.

Setakat pukul 8 pagi ini jumlah mangsa banjir di negeri ini mencatatkan peningkatan menjadi seramai 45,058 orang daripada 12,746 keluarga yang ditempatkan di 186 pusat pemindahan sementara (PPS).

Dalam pada itu, Kamarul Zaman memberitahu, anggaran kerugian bagi kesemua fasiliti polis yang terjejas banjir tersebut masih belum diketahui.

“Belum ada nilai anggaran kerugian lagi, tetapi Jabatan Logistik dan Teknologi sudah turun ke lokasi seperti di Balai Polis Chaah untuk penilaian, namun nilai anggaran kerugian belum diperolehi, kita harap ia dapat dipercepatkan.

“Banyak kerosakan yang berlaku melibatkan stor senjata api yang tenggelam, lokap dan tandas. Selain itu, perabot, kabel komputer dan lain-lain lagi semua tidak dapat diselamatkan,” katanya.

Pihaknya menggunakan alternatif lain bagi memastikan pengawasan di kawasan tersebut tidak terganggu.

“Operasi harian tidak terganggu kerana personel kita tidak terjejas. Jadi, mereka masih bekerja kerana kita ada alternatif lain. Yang penting, kita perlu menjaga keselamatan rumah-rumah yang ditinggalkan ketika banjir. Kita perlu pastikan jalan-jalan yang ditutup tidak diceroboh, maka mereka masih perlu bertugas,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya