Musim peperiksaan antara punca PD kurang dikunjungi - Utusan Malaysia

Musim peperiksaan antara punca PD kurang dikunjungi

KEADAAN suram di pantai peranginan Port Dickson yang kurang dikunjungi pelancong walaupun sewaktu musim cuti persekolahan ketika ini.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Musim peperiksaan awam sekolah yang sedang berjalan ketika ini dilihat antara punca pantai peranginan, Port Dickson kurang menerima kunjungan walaupun pada waktu cuti persekolahan ketika ini.

Menteri Besar Negeri Sembilan yang juga Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, cuti persekolahan ketika ini berbeza berbanding cuti sebelum ini kerana peperiksaan juga sedang berlangsung yang bukan hanya pelajar malahan ia juga melibatkan guru-guru.

“Saya rasa (disebabkan) minggu peperiksaan, bukan hanya ibu bapa sahaja terlibat malah guru-guru juga, kita juga baru selesai cuti Tahun Baharu Cina malah ada juga sudah bersedia untuk ketibaan bulan Ramadan.

“Saya yakin Port Dickson akan pulih seperti biasa selepas ini,” katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Negeri di sini hari ini.

AMINUDDIN Harun dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Negeri, Seremban, hari ini.

Sebelum ini media melaporkan berlaku kekurangan pengunjung di pantai peranginan Port Dickson meskipun cuti persekolahan sudah bermula minggu lalu.

Sementara itu, ditanya isu terdapatnya ‘khemah biru’ di sepanjang Pantai Telok Kemang yang dipasang sehingga pengunjung mengelak ke pantai tersebut, Aminuddin menjelaskan masih terdapat pengusaha sewaan khemah tidak mengikut peraturan yang ditetapkan.

“Kita membenarkan mereka menyewakan khemah-khemah berkenaan kepada pengunjung tetapi mestilah mengikut peraturan iaitu tidak memaksa orang untuk menyewa serta apabila khemah berkenaan tidak digunakan, ia mestilah ditutup semula.

“Itu peraturannya tetapi mereka (pengusaha) telah salah guna, itu yang menjadi masalahnya, mereka rasa ada kuasa, buka sesuka hati akhirnya mereka yang rugi apabila tiada pengunjung yang datang,” katanya lagi.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN