MBPG setuju kurangkan 30% kenaikan sewa - Utusan Malaysia

MBPG setuju kurangkan 30% kenaikan sewa

ASMAN SHAH ABD. RAHMAN bertemu para peniaga pada Sesi Town Hall Datuk Bandar Bersama Penyewa Kebayan dan Semai Niaga di Dewan Muafakat Taman Mawar, Pasir Gudang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Selepas mengambil kira nasib para peniaga yang terjejas, Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) bersetuju mengurangkan kadar sewa sebanyak 30 peratus bagi meringankan beban 271 peniaga di medan selera Kebayan dan Semai Niaga, di sini.

Datuk Bandar Pasir Gudang, Datuk Asman Shah Abd. Rahman berkata, pihaknya membuat keputusan tersebut setelah mendengar rungutan dalam kalangan peniaga mengenai kenaikan kadar sewa baharu yang dikenakan.

Beliau berkata, kadar sewa yang dinaikkan sejak Januari lalu berdasarkan keluasan setiap unit premis dan mengambil kira kos keseluruhan penyelenggaraan.

“Sebelum ini tiada formula khusus bagi kadar sewa, namun kini ditetapkan dengan mengambil kira kos keseluruhan penyelenggaraan dibahagi dengan keluasan premis.

“Peniaga yang bersetuju perlu menandatangani kontrak baharu dan ia berkuat kuasa pada tarikh kontrak sebelum ini, iaitu Januari lalu,” katanya ketika ditemui selepas Sesi Town Hall Datuk Bandar Bersama Penyewa Kebayan dan Semai Niaga di Dewan Muafakat Taman Mawar, di sini yang turut dihadiri Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim.

Pada minggu lalu, media melaporkan sekumpulan peniaga kecewa dengan tindakan MBPG menaikkan kadar sewa medan selera berkenaan, apatah lagi mereka  dalam fasa pemulihan selepas pandemik Covid-19 dengan mendakwa kadar keuntungan merosot antara 30 hingga 70 peratus.

Dalam pada itu, Asman Shah menafikan terdapat kenaikan kadar sewa sehingga 400 peratus seperti dakwaan yang tular dalam media sosial sebelum ini, sebaliknya antara 30 hingga 300 peratus.

Sementara itu, beliau memberitahu, bagi peniaga yang menjual Menu Rahmah, pihaknya juga menawarkan rebat tambahan sebanyak lima peratus dalam usaha memupuk kerjasama daripada peniaga untuk menyahut seruan kerajaan menyediakan pelbagai jenis makanan pada harga serendah RM5.

“Kami berharap peniaga berfikiran secara menyeluruh demi memastikan Kebayan mahupun Semai Niaga berwajah baharu, menjadi tarikan ramai yang secara tidak langsung membantu mereka. Kita minta peniaga untuk berubah mentaliti termasuk membuka ruang tambahan yang dibina tanpa kebenaran dan kelulusan yang sebenarnya memberi imej buruk dan aspek pembersihan seharusnya sentiasa dijaga,” katanya 

Katanya, kerja baik pulih akan dijalankan dalam tempoh terdekat termasuk di Kebayan di Jalan Tembusu pada awal Jun dan sejumlah RM1 juta diperuntukkan bagi kerja membaiki bumbung, mengecat dan menyeragamkan papan tanda.

Dalam pada itu, Hassan berkata, kenaikan kadar sewa seharusnya dilaksanakan secara berperingkat-peringkat, bukan mendadak kerana akan membebani peniaga.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya