Mangsa banjir di NS catat peningkatan, dua lagi PPS dibuka semalam - Utusan Malaysia

Mangsa banjir di NS catat peningkatan, dua lagi PPS dibuka semalam

SEREMBAN: Jumlah mangsa banjir yang masih ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di dua buah daerah di Negeri Sembilan mencatatkan peningkatan kepada 1,061 orang setakat pukul 8 pagi ini. 

Di daerah Tampin, dua buah lagi PPS iaitu di Dewan Orang Ramai Kampung Tiong dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gemas telah pun dibuka sekali gus sebanyak lapan buah PPS keseluruhannya yang telah dibuka.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Sembilan, Leftenan Kol. (PA) Mohd. Nazri Mes Kam berkata, daerah itu juga masih mencatatkan bilangan mangsa tertinggi di PPS iaitu seramai 890 orang. 

“PPS SK Sungai Kelamah setakat ini masih menempatkan seramai 528 orang mangsa banjir diikuti 105 orang di PPS SMK Gemas dan 70 orang di Dewan Orang Ramai Kampung Tiong. 

“Selain itu, 67 mangsa masih berada di PPS Sekolah Agama Rakyat (SAR) Felda Jelai 4, 46 mangsa di Dewan Besar Gemas, 45 mangsa di PPS SK Londah, 23 mangsa di SK Gedok dan empat orang ditempatkan di PPS Balai Raya Pasir Besar,” katanya hari ini. 

Menurutnya, seramai 171 orang mangsa banjir daripada 44 buah keluarga masih lagi berada di empat buah PPS yang dibuka di daerah Jempol.

“Seramai 65 orang mangsa berada di PPS SK Palong 7, 58 mangsa di PPS SK Rompin, 29 orang di PPS SK Palong 1 dan 19 orang mangsa lagi di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Sialang,” katanya.-UTUSAN.

 

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN