JOHOR BAHRU: Selepas lebih dua minggu banjir melanda negeri ini, masih terdapat 35,965 mangsa daripada 10,116 keluarga mendiami 115 pusat pemindahan sementara (PPS) di empat daerah, setakat 12 tengah hari ini.
Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Dr. Azmi Rohani berkata, jumlah itu mencatatkan sedikit penurunan berbanding 36,086 mangsa daripada 10,157 penduduk di 116 PPS yang direkodkan pukul 8 pagi tadi.
Menurutnya, Batu Pahat masih menjadi daerah paling terjejas dengan seramai 35,965 mangsa daripada 10,116 keluarga.
“Jumlah mangsa di Batu Pahat menunjukkan trend penurunan sejak beberapa hari lalu berbanding 36,086 mangsa daripada 10,157 keluarga yang direkodkan pagi tadi. Turut mencatatkan trend penurunan ialah di Muar yang berkurangan daripada 111 mangsa membabitkan 37 keluarga menjadi 89 mangsa terdiri daripada 28 keluarga,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.
Azmi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri berkata, jumlah mangsa di Segamat dan Tangkak tidak berubah, iaitu masing-masing 102 dan 24 orang.
Empat laluan di Batu Pahat membabitkan Jambatan Sri Dayung, Jambatan Parit Jambi, Simpang Parit Jalil dan Klinik Kesihatan Sri Medan ditutup untuk semua jenis kenderaan.
Turut ditutup untuk semua jenis kenderaan ialah jalan di Asrama Pekerja FTPSB Kahang Barat (cerun runtuh) dan Jambatan GSA Chamek (jambatan rosak) di Kluang serta Jalan Ulu Tebrau-Sungai Tiram (cerun runtuh) di Kulai. – UTUSAN