Latihan praktikal bukan jawatan kosong untuk diisi

Latihan praktikal bukan jawatan kosong untuk diisi

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Latihan praktikal oleh mahasiswa tidak sepatut­nya diibaratkan sebagai jawatan kosong oleh majikan sehingga tempat menjadi terhad, sedangkan matlamat utama program tersebut adalah untuk memberi pendedahan kepada mereka dan memenuhi keperluan dalam bagi pengajian.

Situasi sedemikian wujud apabila terdapat majikan yang bukan sahaja menganggap mahasiswa sedemikian sebagai pekerja, bahkan mengambil ke­sempatan untuk mengurangkan kos operasi dengan menggunakan khidmat pelajar latihan praktikal.

Presiden Kesatuan Kakita­ngan Akademik Universiti Tek­nologi Mara (UiTM) (Mitasa), Ahmad Faisal Mohamed Fiah berkata, tawaran tempat untuk menjalani latihan praktikal disarankan mengikut saiz syarikat.

“Jumlah itu bergantung kepada syarikat, kalau saiznya kecil mungkin boleh sediakan satu atau dua tempat, contohnya. Syarikat yang besar pula se­perti multi nasional (MNC) atau berkaitan kerajaan (GLC) mungkin boleh ambil lebih ramai.

PELBAGAI BIDANG

“Tak semestinya diletakkan dalam satu jabatan yang sama, sebab mahasiswa ini datang daripada pelbagai bidang.

“Tetapi sekarang ini latihan praktikal seolah-olah majikan hendak mengerah mereka. Kena ada situasi menang-menang, mereka jalani latihan dan dalam masa sama syarikat juga dapat manfaat daripada tenaga dan keringat pelatih,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Sebelum ini, Naib Presiden Siswa Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Kebangsaan, Muhammad Danial Alimin mendedahkan kira-kira 40,000 mahasiswa sukar mendapat tempat menjalani latihan praktikal sebagai syarat sebelum menamatkan pengajian.

Situasi berkenaan disebabkan tiada syarikat yang bersesuaian dengan pengajian mereka, majikan enggan membayar elaun dan menolak untuk menerima siswa bagi tempoh yang pendek.

Jelas Ahmad Faisal, ba­gaimanapun pembayaran tidak sepatutnya menjadi masalah utama kepada isu latihan praktikal kerana tidak menjadi kewajiban bagi majikan menyediakan kemudahan itu, malah mahasiswa juga tidak tertakluk di bawah akta berkaitan pekerjaan.

CEMERLANG

Menurutnya, majikan juga boleh menawarkan pelbagai insentif seperti biasiswa kepada mahasiswa cemerlang untuk menjalani latihan praktikal dan kerajaan boleh mengenakan pengecualian cukai seperti mana dilakukan oleh negara-negara maju.

Dalam pada itu, Pensyarah Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (FKPM) itu turut bersetuju cadangan supaya tenaga pengajar menjalani latihan praktikal untuk meningkatkan kemahiran dan pengetahuan agar dapat dikongsikan dalam bentuk pembelajaran di kuliah.

“Balik kejap ke industri, saya setuju, malah saya sendiri teringin jika diberi peluang untuk menyertai industri dalam tempoh yang singkat dua tiga bulan ke, itu mungkin sesuai.

“Sebab kita pun kena tahu bukan sekadar tahap keperluan terkini dalam industri, tetapi mungkin ada inovasi baharu yang diperkenalkan industri. Kita boleh pergunakan dan jadikan sebahagian daripada bahan pembelajaran, itu saya memang setuju. Sekurang-kurangnya dapat mempertajamkan semula kemahiran,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN