Langgar akidah: Gaji pelakon, kru haram

Langgar akidah: Gaji pelakon, kru haram

MOHAMAD SHUKRI MOHAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pendapatan diraih pelakon dan kru produksi beragama Islam yang terlibat dalam penerbitan karya melanggar akidah adalah haram.

Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad menegaskan, hukuman haram itu jelas jika individu ter­babit sengaja mahu menghina Islam.

Bagaimanapun, katanya, sekiranya kru produksi termasuk pelakon jahil maka terdapat pengecualian buat mereka.

“Apabila perbuatan itu disengajakan, maka sudah tentu memberi kesan kepada pendapatan seseorang.

“Kalau buat perkara haram, maka hasil pendapatan juga haram, contohnya berjudi. Ki­ta tahu aktiviti itu haram, jadi hasilnya haram. Persoalan besar sekarang apakah dialog­nya betul-betul berniat untuk mengetengahkan Islam liberal,” katanya baru-baru ini.

Sebelum ini filem indie Mentega Terbang yang ditayangkan di platform penstriman digital mencetuskan kontroversi apabila memaparkan jalan cerita yang didakwa bertentangan dengan agama Islam dan dilakonkan oleh pelakon beragama Islam.

Filem arahan Khairi Anwar dan diterbitkan Tan Meng Kheng tersebut mula ditayangkan melalui platform penstriman Viu pada 19 Januari lalu dengan skrip ditulis bersama Khairi Anwar, Arjun Thanaraju dan Ting Teng Hui.

Dalam pada itu, Mohamad Shukri berkata, perkara seperti itu tidak seharusnya berlaku dalam negara yang meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan.

“Walaupun Islam diletakkan sebagai agama Persekutuan, ia tidak pernah sama sekali mengetepikan hak agama lain untuk dipraktikkan di negara ini. Perlu diingat dalam hadis nabi pun ada cakap Islam agama tertinggi dan tiada agama lain boleh mengatasinya.

“Paling saya bimbang dialog atau babak ini memang untuk mengetengahkan Islam liberal. Saya sangat bimbang kalau ini agenda-agenda yang bermatlamat sedemikian.

Ia bukan sahaja ditolak di negara kita tetapi di seluruh dunia. Islam adalah Islam. Tiada pelampau dan tiada liberal. Malah tiada Islam sosialis atau Islam komunis,”ujarnya.

Sementara itu, Mohamad Shukri berkata, umat Islam diminta berhati-hati dengan gerakan puak tertentu yang mahu memburukkan nama Islam menerusi pelbagai kaedah.

“Sebab itu saya nak nasihatkan umat Islam agar berhati-hati dengan gerakan Islam liberal dan berhati-hati disaat masing-masing sibuk mengetengahkan idea dengan menonjolkan kelainan. Jangan sampai me­langgar batas akidah, syariah dan akhlak,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN