KPDN tumpaskan kegiatan seleweng minyak diesel di Nilai - Utusan Malaysia

KPDN tumpaskan kegiatan seleweng minyak diesel di Nilai

ANGGOTA penguatkuasa KPDN melakukan pemeriksaan dalam serbuan Op Tapis di sebuah premis di sebuah kawasan perindustrian di Nilai, Seremban awal pagi tadi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Lagi kegiatan penyelewengan minyak diesel bersubsidi berjaya ditumpaskan dan kali ini menerusi serbuan Op Tapis oleh pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) di sebuah premis di kawasan perindustrian Nilai di sini awal pagi tadi.

Ketua Setiausaha KPDN, Datuk Azman Mohd. Yusof berkata, dalam serbuan yang bermula pukul 4 pagi di premis tidak bernombor itu, sejumlah 11,000 liter minyak diesel berjaya ditemukan selain sebuah lori, beberapa tangki yang kosong dan berisi minyak diesel serta beberapa peralatan lain yang digunakan untuk kegiatan itu.

“Hasil risikan selama dua minggu, serbuan kemudian dilakukan oleh sepasukan anggota penguat kuasa dari KPDN Putrajaya di sebuah premis yang disyaki dijadikan stor tempat penyimpanan dan pemindahan minyak diesel.

“Ketika serbuan dilakukan, dua orang lelaki berada di dalam premis terbabit dipercayai sedang melakukan aktiviti pemindahan minyak diesel. Hasil pemeriksaan lanjut ke atas keseluruhan premis, pasukan serbuan telah menemukan minyak diesel dengan kuantiti keseluruhan berjumlah 11,000 liter selain sebuah lori, beberapa tangki yang kosong dan berisi minyak diesel.

“Pihak premis gagal mengemukakan sebarang dokumen yang sah berhubung kebenaran untuk berurusan berkaitan barang kawalan berjadual iaitu minyak diesel di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

“Minyak diesel, kenderaan lori, telefon bimbit, beberapa dokumen berkaitan serta peralatan-peralatan lain yang ditemui di lokasi serbuan telah disita bagi tujuan siasatan lanjut. Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM53,550,” katanya.

Azman berkata, dua individu lelaki dengan salah seorangnya merupakan warga tempatan berumur 35 tahun yang juga mengaku sebagai pemandu lori berkenaan bersama seorang lagi individu bukan warga negara yang ditemui di dalam premis terbabit telah ditahan bagi membantu siasatan.

“Kertas siasatan telah dibuka dan siasatan lanjut ke atas kes ini sedang  dilakukan di bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 bagi mengenal pasti individu/syarikat yang terlibat dalam aktiviti ini serta rantaian pengedaran minyak diesel tersebut termasuklah sumber minyak diesel ini diperoleh dan diedarkan,” katanya.

“Selain itu, syarikat ini juga akan disiasat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) (Akta 613) iaitu kesalahan pengubahan wang haram bagi tujuan mengesan, membeku, menyita serta sehingga ke peringkat perlucutan hak ke atas apa-apa hasil  pendapatan atau harta yang dijana daripada aktiviti haram penyelewengan berkaitan minyak diesel,” katanya.

Sementara itu, ujar beliau, berdasarkan statistik penguatkuasaan Op Tiris, bermula 1 Mac 2023 sehingga 15 Mac lalu, sebanyak 1,954 pemeriksaan telah dilakukan di seluruh negara dengan sebanyak 47 kes telah dihasilkan yang melibatkan nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM1.07 juta.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya