Kerajaan segerakan wang bantuan mangsa banjir - Utusan Malaysia

Kerajaan segerakan wang bantuan mangsa banjir

ARMIZAN MOHD. ALI mengadakan tinjauan ke PPS di Dewan Serbaguna Pagoh, Muar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUAR: Kerajaan akan menyegerakan pemberian wang ihsan kepada mangsa banjir sebagai membantu meringankan beban golongan berkenaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, menerusi Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) proses penyaluran insentif itu akan mengambil masa selewat-lewatnya seminggu.

“Di peringkat Nadma pusat baru-baru ini, kita telah menggariskan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) bahawa bahawa dalam tempoh seminggu paling lewat, peruntukan itu sudah disalurkan ke negeri dan daerah terlibat.

“Itu prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan sebaik sahaja kita menerima maklumat yang disahkan oleh jawatankuasa pengurusan bencana dan daerah,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan tinjauan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di sekitar Pagoh, di sini hari ini.

Beliau berkata, dalam insiden banjir khususnya berskala besar, ia memerlukan masa untuk semakan status dan data supaya tiada pertindihan dalam memastikan semua mangsa yang berkelayakan menerima bantuan.

“Saya fikir daripada segi penyaluran bantuan kepada mangsa yang ditempatkan di PPS tidak ada masalah, namun kepada mangsa yang tidak ditempatkan di PPS atau mereka yang enggan ke PPS, ini memerlukan semakan yang bukan hanya pejabat daerah, namun jentera di peringkat kampung.

“Walau bagaimanapun, berdasarkan mekanisme pengurusan, kami di Nadma tidak akan bertangguh dalam aspek tersebut dan itulah juga komitmen kepimpinan kerajan kita, iaitu Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri selaku pengerusi bencana pusat.

“Walaupun jumlah mungkin tak banyak, iaitu dalam kadar RM1,000, tapi saya harap ia cukup bernilai dan bermakna kepada mereka yang kerugian,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN