Kenaikan sewa ekoran penyelarasan - MBPG - Utusan Malaysia

Kenaikan sewa ekoran penyelarasan – MBPG

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kenaikan kadar sewa dan kos operasi di 18 lokasi premis perniagaan milik Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) berlaku ekoran penyelarasan semula selepas perkara itu tidak dilaksanakan  lebih sedekad lalu.

MBPG dalam satu kenyataan memaklumkan, walaupun selepas penyelarasan semua kadar sewa dan kos operasi dilaksanakan, pihaknya masih perlu menanggung hampir RM800,000 setahun, merangkumi aspek kebersihan, tong sampah, pembaikan premis, pembaikan tandas dan kos utiliti di ‘common area’.

“MBPG pada dasarnya telah membuat penyelarasan semula kadar sewa dan kos operasi di semua premis di Kebayan dan Semai Niaga berikutan kadar sewa dan kos operasi ini tidak diselaraskan lebih 10 tahun. 

“Untuk makluman, kos operasi bagi Kebayan dan Semai Niaga di Pasir Gudang hampir RM1.6 juta setahun. Walaupun selepas penyelarasan semua kadar sewa dan kos operasi dilaksanakan MBPG masih perlu menanggung sebanyak hampir RM800,000 setahun,” demikian menurut kenyataan berkenaan.

Kelmarin, media melaporkan dakwaan 226 peniaga di kawasan Kebayan dan Semai Niaga yang menyifatkan kenaikan antara 200 hingga 400 peratus yang dikenakan MBPG sebagai terlalu tinggi.

Malah, Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim yang menerima aduan tentang perkara itu menyifatkan perjanjian kadar sewa baharu itu sebagai berat sebelah dan ditandatangani dalam keadaan terpaksa.

Menurut kenyataan MBPG lagi, pada 2020 dan 2021, kerajaan negeri telah memberikan pengecualian penuh pembayaran sewa kepada semua peniaga tersebut dan pada tahun lalu, MBPG turut memberi diskaun sebanyak 80 peratus kadar sewa kepada mereka.

“Untuk tahun 2020-2022 MBPG telah memperuntukkan hampir RM4 juta untuk kos operasi di kawasan Kebayan dan Semai Niaga ini.

“MBPG akan mengadakan sesi ‘town hall’ pada 29 Mac ini dengan semua peniaga Kebayan dan Semai Niaga ini. Penjelasan berkaitan kadar kenaikan kadar sewa ini akan diperjelaskan kepada setiap peniaga,” menurut kenyataan itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya