PUTRAJAYA: Kakitangan awam negara ini cekap dan mampu menguruskan tugas-tugas besar membabitkan hal ehwal negara tanpa perlu bergantung kepada perunding luar.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, berdasarkan pengalaman lapan tahun di Kementerian Kewangan sebelum ini, beliau menyaksikan sendiri kecekapan pegawai-pegawai kerajaan yang memimpin dan mengemudi projek besar dengan berjaya.
Oleh itu kata Anwar, pentadbiran sekarang akan memberi kepercayaan dan mengembalikan semula tugas besar sedemikian kepada barisan penjawat awam.
“Polisi itu tidak bermaksud menentang pengambilan perunding bebas tetapi tidak mahu terlalu banyak bergantung kepada nasihat konsultan.
“Kalau satu, dua konsultan itu munasabah, tetapi apabila terlalu ramai memandu dan mengemudi, penjawat awam tidak berpeluang,” kata beliau ketika berucap pada Perjumpaan Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri Bulan Mac 2023 di Dewan Seri Endon, Puspanitapuri di sini semalam.
Perdana Menteri berkata, antara contoh terbaharu kecekapan pegawai kerajaan seperti menyelesaikan kemelut isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) melibatkan International Petroleum Investment Company (IPIC) dan Aabar Investments PJS pada akhir bulan lepas.
KEJAYAAN
“Ini antara kejayaan besar yang terbaharu apabila kita berjaya memperoleh semula dana menerusi proses rundingan baik bersama PJS dan IPIC sehingga memperoleh semula dana melebihi apa yang kita unjurkan,” katanya.
Kementerian Kewangan (Diperbadankan) dan 1MDB pada 27 Februari lalu mencapai penyelesaian dengan kedua-dua pihak tersebut di Timbang Tara Antarabangsa London.
Susulan itu, IPIC dan PJS yang dimiliki kerajaan Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang didakwa bersubahat dalam skandal 1MDB, bersetuju membayar AS1.8 bilion (RM8.06 bilion) kepada Malaysia.
Anwar berkata, beliau turut bersyukur apabila Yang di-Pertuan Agong memanfaatkan hubungan baik dengan Presiden UAE, Sheikh Mohamed Zayed Al Nahyan.
“Saya cuma ‘tumpang tuah’ baginda namun penyelesaian ini amat melegakan dan saya ada juga sebut isu ini ketika perbualan telefon dengan pemimpin UAE sendiri,” kata Perdana Menteri
Sementara itu, Anwar juga berbangga dengan prestasi pelbagai agensi awam dalam isu pengurusan bencana banjir di Johor ketika ini.
Malahan, beliau menyifatkan kesiapsiagaan jentera kerajaan sama ada peringkat negeri dan Persekutuan yang dapat digerakkan dengan pantas dan lebih baik di negeri tersebut.
“Saya lebih lihat tindakan barisan penjawat awam itu sendiri tidak perlu tunggu arahan. Dia tahu banjir, terus ambil tindakan dan beritahu apa yang akan siap segera,” kata beliau.
Anwar turut berterima kasih kepada usaha timbalannya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Armizan Mohd. Ali.
“Saya dimaklumkan bantuan telah pun disalurkan dalam tempoh setengah hari, malah di kawasan terputus jaringan pengangkutan sekurang-kurangnya bawah 24 jam,” katanya.
Menyentuh ramalan akan berlaku banjir di Sarawak pula, beliau mahu tindakan pantas sama seperti di Johor termasuk penglibatan bersama pertubuhan bukan kerajaan dengan tindakan penyelarasan gerak kerja dibuat Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.- UTUSAN







