Jumlah mangsa banjir meningkat semula - Utusan Malaysia

Jumlah mangsa banjir meningkat semula

BEBERAPA kawasan di Pekan Panchor di Grisek, Muar masih digenangi air banjir.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Jumlah mangsa banjir di negeri ini mencatatkan peningkatan semula menjadi 39,315 orang daripada 11,143 keluarga setakat pukul 12 tengah hari tadi.

Jumlah itu mencatat peningkatan berbanding 

38,620 mangsa daripada 10,862 keluarga pada 10 pagi tadi yang ditempatkan di 212 pusat pemindahan sementara (PPS).

Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Dr. Azmi Rohani berkata, banjir yang melanda negeri ini sejak seminggu lalu menyaksikan Batu Pahat menjadi daerah paling terjejas dengan seramai 23,370 mangsa daripada 6,602 keluarga di 78 PPS.

“Turut terjejas ialah Muar dengan seramai 4,106 mangsa, diikuti Segamat  dengan 3,620 mangsa, Kluang (2,591), Tangkak (2,584), Kota Tinggi (1,692), Mersing (1,164), Pontian (150) dan Johor Bahru (38),” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Azmi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) memberitahu, jumlah korban banjir di negeri ini meningkat kepada lima mangsa, iaitu tiga kes di Segamat dan masing-masing satu kes di Kluang dan Mersing.

Walaupun berlaku sedikit pertambahan jumlah mangsa, namun sebanyak 128 PPS telah ditutup setelah beberapa kawasan terjejas banjir mulai surut.

Laporan Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) menunjukkan tiada sebarang amaran hujan berterusan dikeluarkan di seluruh negeri ini membabitkan kesemua 10 daerah.

Sementara itu, sebanyak 11 sungai di lima daerah masih diletakkan bawah kategori paras air berbahaya, antaranya Sungai Gemas, Sungai Muar, Sungai Bekok, Sungai Kahang dan Sungai Sembrong.

Sebanyak 41 laluan di daerah terjejas banjir ditutup untuk semua jenis kenderaan, antaranya Jalan Bekok, Jalan Senai-Gemas, Jalan Sungai Mati-Bukit Serampang, Jalan Panchor, Jalan Kuala Paya-Balai Badang, Jalan Kampung Liang Batu dan Jalan Semaloi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya