Johor mohon bantuan, perlu lebih ramai petugas - Onn Hafiz - Utusan Malaysia

Johor mohon bantuan, perlu lebih ramai petugas – Onn Hafiz

ONN HAFIZ GHAZI melawat dan menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir di PPS Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Yong Peng 1, Batu Pahat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BATU PAHAT: Johor mohon bantuan kerajaan Persekutuan dan negeri-negeri lain yang tidak terjejas banjir susulan petugas sedia ada tidak mencukupi ekoran jumlah mangsa banjir yang ramai pada kali ini.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, hingga pukul 1 petang ini, semua 10 daerah di negeri ini telah dilanda banjir dengan melibatkan lebih 33,000 mangsa.

Menurutnya, semua agensi kini berhempas pulas untuk membantu dan setelah tiga hari banjir melanda, ramai antara petugas sudah mula keletihan, namun masih tetap bersemangat.

“Saya juga minta tambahan dari segi jentera atau pun petugas-petugas dari negeri-negeri lain yang tidak terlibat banjir, contohnya Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan sebagainya.

“Bantuan daripada kerajaan Persekutuan juga dialu-alukan,” katanya ketika mengadakan lawatan ke pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Yong Peng 1, hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd. Fared Mohd. Khalid.

Ditanya tentang bantuan yang lewat tiba, beliau memaklumkan semua bantuan telah digerakkan bermula hari pertama banjir, namun kelewatan disebabkan jumlah mangsa yang terlalu ramai.

“Kita turut mendapat daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO), syarikat swasta dan individu yang membantu memberikan pakaian dan makanan.

“Kita ucapkan jutaan terima kasih dan untuk rakyat Johor secara keseluruhan kerana kekal bersabar, tenang dan tabah dalam ujian yang cukup getir ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN