KLANG: Jenazah kanak-kanak berusia sembilan tahun yang maut akibat digilis sebuah lori treler dalam kejadian kemalangan pagi kelmarin selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Telok Gong, malam semalam.
Allahyarhamah Nurul Jannatun Assyifa Muhammad Jamathir dikebumikan selepas menjalani bedah siasat di Jabatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR).
Bapanya, Muhammad Jamathir Ahmad Nordin berkata, jenazah dikebumikan selepas solat isyak kira-kira pukul 9 malam dan disaksikan beberapa ahli keluarga, rakan dan penduduk kampung yang hadir.
“Pihak hospital selesai jalankan bedah siasat ke atas Jannatun Assyifa kira-kira pukul 6 petang semalam (Rabu). Selesai bedah siasat, jenazah terus dibawa ke masjid berdekatan tanah perkuburan untuk disolat dan dikebumikan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.
Terdahulu, akhbar ini melaporkan separuh badan kanak-kanak berkenaan hancur digilis sebuah lori ketika membonceng sebuah motosikal jenis Honda Dash bersama adik lelakinya yang ditunggang jirannya dalam perjalanan pulang dari Sekolah Rendah Agama (SRA) Telok Gong.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11 pagi itu, motosikal dinaiki ketiga-tiga mereka melalui permukaan jalan berpasir sebelum dilanggar sebuah lori dari arah belakang menyebabkan allahyarham terjatuh sebelum digilis dan maut di tempat kejadian.
Bagaimanapun, wanita penunggang motosikal berusia 54 tahun itu dan kanak-kanak lelaki Alif Zahfran Muhammad Jamathir, 7, mengalami cedera di tangan dan kepala dan menerima rawatan di HTAR.
Menurut Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong, kes tersebut kini disiasat di bawah Seksyen 41(1)Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN










