ISKANDAR PUTERI: Permukaan jalan raya di beberapa kawasan, khususnya daerah-daerah yang terjejas akibat banjir berada dalam keadaan ‘maha dahsyat’.
Keadaan itu diakui Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur negeri, Mohamad Fazli Mohamad Salleh.
“Pasca banjir ini, jalan-jalan di Johor berada dalam keadaan ‘maha dahsyat”. Saya sendiri menerima aduan kerosakan jalan raya hampir setiap hari.
“Baru-baru ini, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri,Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz turut mengadu keempat-empat ‘sport rim’ kenderaannya rosak selepas berkunjung ke negeri ini menyebabkan kerugian RM4,000,” selorohnya dalam ucapan pada Majlis Perasmian dan Penyerahan Projek Menaik Taraf Jalan Utama Gelang Patah-Ulu Choh Sepanjang 2.15 Kilometer di Taman Nusantara, Gelang Patah, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Iskandar, Datuk Pandak Ahmad.
Mohamad Fazli berkata, kerajaan negeri telah memohon peruntukan berjumlah RM168 juta daripada kerajaan Pusat untuk kerja-kerja membaik pulih dan jumlah itu adalah anggaran awal, namun kosnya dijangkakan meningkat kerana masih ada kawasan dilanda bah, khususnya melibatkan banjir termenung.
“Selain itu, kita juga akan melihat kerosakan melibatkan cerun, jambatan, tiang elektrik yang hampir tumbang serta paip-paip yang bengkok, semua itu sedang dinilai.
“Sewaktu Johor dilanda bencana banjir awal tahun lalu, kerajaan negeri telah membuat permohonan asal sebanyak RM20 juta dan sebahagiannya daripada peruntukan itu telah diperoleh, kerosakan ketika itu kita telah masukkan dalam anggaran kerugian kali ini,” jelasnya.
Pada majlis berkenaan, Mohamad Fazli memaklumkan kerja menaik taraf Jalan Utama Gelang Patah-Ulu Choh sepanjang 2.15 lilometer daripada dua lorong dua hala menjadi empat lorong dua hala itu melibatkan kos keseluruhan RM7.1 juta.
“Dengan siapnya projek ini, ia akan memberi manfaat kepada penduduk setempat, khususnya di Taman Nusantara, Gelang Patah serta memudahkan penyuraian trafik khususnya dari Pekan Nanas, Pontian menuju ke pusat bandar Johor Bahru,” jelasnya. – UTUSAN