Jahidah sah bercerai secara fasakh - Utusan Malaysia

Jahidah sah bercerai secara fasakh

FAUZIAH Nordin ketika menjaga Jahidah di rumahnya di Bandar Sri Sendayan, Seremban.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Perkahwinan wanita mangsa keganasan rumah tangga yang koma dipukul suami, Jahidah Nordin, 45, akhirnya berakhir dengan penceraian selepas Mahkamah Rendah Syariah Seremban hari ini membenarkan permohonan fasakh yang dikemukakan pada 1 Februari lalu.

Hakim Syarie, Hamizan Mohd. Nor memutuskan demikian secara tertutup selepas berpuas hati dengan penyata keterangan bertulis oleh adiknya, Fauziah Nordin, 41, sebagai penjaga ad litem.

Fauziah dilantik oleh mahkamah sebagai penjaga ad litem berikutan keadaan Jahidah yang kini masih terlantar dan tidak mempunyai keupayaan untuk hadir ke mahkamah selepas kejadian yang berlaku pada Mei 2021.

Sebelum itu, peguam syarie Jabatan Bantuan Guaman Negeri Sembilan, Mohd. Amirul Adam Ahmad yang mewakili plaintif menyerahkan kenyataan bertulis sebanyak tujuh muka surat mengandungi 31 soalan kepada Hamizan. 

Mohd. Amirul Adam berkata, perkahwinan Jahidah dan suaminya, Rosmaini Abdul Raof, 40, telah difasakhkan hari ini maka terputuslah hubungan mereka sebagai suami isteri.

“Kes ini mengambil masa kerana sepatutnya Jahidah sendiri hadir tetapi keadaannya (masih terlantar), jadi permohonan penjaga ad litem perlu dibuat terlebih dahulu di Mahkamah Tinggi Syariah.

“Selain itu, perintah telah dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi Malaya berkaitan pengurusan harta Jahidah diserahkan kepada jawatankuasa yang diketuai oleh Fauziah dan adiknya Fazariah Nordin,” katanya selepas selesai prosiding mahkamah di sini hari ini.

FAUZIAH bersama Mohd. Amirul Adam Ahmad pada prosiding kes tuntutan fasakh Jahidah di Mahkamah Rendah Syariah Seremban hari ini.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.

Menurut Mohd. Amirul Adam, Rosmaini bagaimanapun tidak hadir ke mahkamah walaupun notis saman melalui iklan telah disiarkan di surat khabar pada 24 Februari lalu untuk memastikan kehadirannya.

Sementara itu, Fauziah ketika ditemui menarik nafas lega apabila penderitaan kakaknya selama hampir dua tahun yang digantung tidak bertali berakhir dengan penceraian yang sah dari segi undang-undang.

“Alhamdulillah saya bersyukur sangat sebab sudah tunggu lama (kes tuntutan fasakh) kakak. Memang tidak sangka mahkamah buat keputusan hari ini,” katanya.

Menurut Fauziah, keluarga sudah menerima keadaan Jahidah tetapi hanya mengharapkan pembelaan sewajarnya buat wanita itu.

“Seorang suami sepatutnya menjadi penjaga dan pelindung isteri. Jika suami tidak lagi mampu menjalankan tanggungjawab, lepaskanlah isteri secara baik jangan dipukul seperti yang berlaku pada Jahidah,” katanya lagi.

Sebelum ini, media melaporkan dalam kejadian pada 4 Mei 2021, Jahidah yang menetap di Johor Bahru koma disebabkan kecederaan parah pada kepala dengan tengkorak terpaksa dibuang akibat pendarahan selain rahang, tulang belakang serta rusuk retak dipukul suaminya yang berusia 38 tahun. 

Jahidah pada mulanya dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru dan kemudian dipindahkan ke Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban atas permintaan keluarga dan nasihat pihak hospital. 

Jahidah selamat melahirkan bayi lelaki, Eshan Nufail secara pembedahan pada 30 November 2021. –UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.