Ibu mengandung didakwa tipu tawaran haji, umrah - Utusan Malaysia

Ibu mengandung didakwa tipu tawaran haji, umrah

NUR Zaidani Akmal Abd. Majid dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Pilah hari ini bagi didakwa atas tiga pertuduhan berkaitan penipuan tawaran haji serta umrah.-UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA PILAH: Seorang ibu mengandung yang juga merupakan pengarah sebuah syarikat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Pilah hari ini atas tiga pertuduhan penipuan berkaitan tawaran haji serta umrah.

Tertuduh, Nur Zaidani Akmal Abd. Majid, 39, membuat pengakuan berkenaan selepas ketiga-tiga pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Saiful Sayoti.

Berdasarkan pertuduhan pertama, pada 27 Disember tahun lalu sehingga 27 Januari lalu di sebuah pondok agama di Kuala Talang, Tanjung Ipoh, dia telah menipu seorang warga emas lelaki dengan memperdayakan untuk memindahkan wang berjumlah RM14,000.

Warga emas berkenaan mempercayai tertuduh menawarkan pakej umrah dan haji bagi tahun 2023. Oleh itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan dibaca mengikut Seksyen 34 kanun sama.

Bagi pertuduhan kedua pula, pada 27 Disember tahun lalu sehingga 12 Januari lalu di lokasi yang sama, wanita berkenaan didapati telah menawarkan pakej umrah tanpa memegang lesen yang dikeluarkan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.

Oleh itu, tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 5(2), Akta Industri Pelancongan 1992 (Akta 482) dan boleh dihukum bawah Seksyen 5 (3) akta sama, sekiranya sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan ketiga, pada 24 Januari lalu hingga 27 Januari di lokasi yang sama, tertuduh telah menawarkan pakej haji tanpa memegang lesen pengelola jemaah haji yang dikeluarkan oleh pihak Tabung Haji.

Pendakwaan terhadap tertuduh dibuat mengikut Seksyen 27(1)(a) Akta Tabung Haji 1995 dan dihukum di bawah Seksyen 27(2) akta sama.

Pendakwaan telah dikendalikan, Timbalan Pendakwa Raya, Peh Fong Xi manakala tertuduh tidak diwakili peguam. tertuduh dalam rayuannya memohon Majistret memberikan jaminan paling minimum memandangkan dia merupakan seorang ibu yang menanggung tujuh orang anak dan sedang mengandung.

Majistret kemudiannya membenarkan jaminan sebanyak RM11,500 bagi ketiga-tiga pertuduhan dan menetapkan 3 April ini sebagai tarikh sebutan semula kes.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya