Hendap guna GPS, kamera boleh dipenjara tiga tahun - Utusan Malaysia

Hendap guna GPS, kamera boleh dipenjara tiga tahun

RAMKARPAL SINGH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Individu yang bersalah menghendap individu lain boleh dipenjara tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali apabila kerajaan melakukan pindaan Kanun Keseksaan (Akta 574) dan Kanun Tatacara Jenayah (Akta 593) tidak lama lagi.

Skop perbuatan menghendap juga diperluaskan iaitu boleh berlaku secara atas talian seperti seseorang individu itu dijejak (followed), menggunakan alat sistem pengesanan global (GPS), GPS tracker atau menggunakan kamera tersembunyi.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ramkarpal Singh berkata, penambahbaikan undang-undang khusus menghendap adalah selari dengan perkembangan teknologi yang turut dijadi `alat’ menghendap individu lain ketika ini.

Menurut beliau, istilah menghendap kini tidak lagi hanya membabitkan seseorang individu dijejaki secara fizikal tetapi turut berlaku dengan bantuan teknologi.

“Perbuatan menghendap juga boleh berlaku secara dalam talian seperti seseorang individu itu dijejak (followed), tetapi bukan secara fizikal.

“Contoh terbaik dalam menjejaki seseorang kini ialah menggunakan alat sistem pengesanan global (GPS), GPS tracker atau kamera tersembunyi.

DILULUSKAN

“Perbuatan ini bukan menghendap dalam rang undang-undang diluluskan di Dewan Rakyat sebelum ini,” kata beliau yang mengetuai pasukan menambah baik akta melindungi privasi setiap individu.

Justeru, kata Ramkapal, menjejak seseorang individu melalui apa jua cara kini suatu perbuatan menghendap di bawah rang undang-undang yang baharu ini.

Cadangan undang-undang menghendap ini melibatkan pindaan Kanun Keseksaan (Penal Code) [Akta 574] dan Kanun Tatacara Jenayah (Criminal Procedure Code) [Akta 593].

Kata Ramkarpal, sekiranya didapati bersalah melakukan kesalahan menghendap di bawah akta itu, pesalah boleh dihukum penjara sehingga tiga tahun atau denda, atau kedua-dua sekali.

Kata beliau, sekiranya didapati bersalah melakukan ke­salahan mengingkari perintah perlindungan yang dikeluarkan oleh mahkamah di bawah Kanun Tatacara Jenayah, boleh dikenakan hukuman penjara sehingga satu tahun atau denda atau kedua-dua sekali.

“RUU ini dibaca buat kali pertama di Dewan Rakyat pada 16 Mac lalu. Bacaan kali kedua dan ketiga akan terdapat perbahasan dan undian oleh ahli-ahli Parlimen yang dijangka pada awal bulan depan.

“Selepas lulus di Dewan Rakyat, kedua-dua RUU ini perlu di bawa ke Dewan Negara pula. Ini dijangka dilakukan pada sekitar awal bulan April 2023 juga,” katanya.

Kata beliau, pihaknya telah mengadakan beberapa sesi bersama beberapa pihak termasuk Women’s Aid Organisation (WAO), Majlis Peguam dan Jabatan Peguam Negara (Bahagian Gubalan dan Bahagian

Pendakwaan) untuk menyemak dan meneliti semula mengenai undang-undang menghendap secara menyeluruh.

Dewan Rakyat pada Oktober 2022 meluluskan pindaan ke atas Kanun Keseksaan dan Kanun Tatacara Jenayah bagi menjadikan tindakan menghendap sebagai satu kesalahan.

Pindaan tersebut akan menjadi mekanisme bukan saja menghalang perlakuan mengganggu dan menghendap, malah menyelamatkan nyawa.

Bagi pindaan ke atas Kanun Tatacara Jenayah, ia akan memberikan perlindungan undang-undang kepada mangsa jenayah menghendap melalui perintah perlindungan yang dikeluarkan pihak mahkamah.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×