KUALA TERENGGANU: Harga ikan yang dijual di pasar di negeri ini meningkat sehingga 20 peratus ketika Ramadan ini.
Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan Kuala Terengganu Selatan, Rohaizard Ariffin berkata, peningkatan harga ikan itu berlaku berikutan jumlah hasil tangkapan ikan di perairan negeri ini berkurangan sebelum Ramadan.
Menurut beliau, keadaan tersebut berlaku kerana keadaan air laut di perairan negeri ini jernih sehingga menyebabkan jumlah ikan berkurangan.
Pada masa ini, katanya, ikan kembung dijual pada harga RM20 sekilogram, selar (RM18 sekilogram) dan selayang (RM14 sekilogram), tongkol (RM10 sekilogram) dan cencaru (RM10 sekilogram).
“Bilangan nelayan yang turun ke laut juga berkurangan kerana tidak mahu menanggung kerugian apabila hasil tangkapan ikan berkurangan pada musim sekarang.
“Pada musim ini didapati hanya ikan tongkol dan cencaru bersaiz besar sahaja banyak terdapat di perairan ini manakala ikan-ikan lain pula berkurangan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.
Bagaimanapun, Rohaizard berkata, harga ikan dijangka turun semula selepas Hari Raya Aidilfitri kerana jumlah ikan meningkat di perairan ini, sekali gus menambah hasil tangkapan.
Sementara itu, seorang peniaga ikan yang mahu dikenali sebagai Ramli, 52, berkata, harga ikan sentiasa turun dan naik mengikut bekalan dan permintaan.
Katanya, dalam tempoh terdekat ini harga ikan dijangka terus meningkat sehingga bekalan kembali pulih.- UTUSAN










