KUANTAN: Guru Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA) sedia mengikuti segala syarat kerja ditetapkan jika itu dapat membantu mewujudkan skim perkhidmatan yang lebih baik dan mampu membela nasib serta kebajikan tenaga pengajar itu.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, seorang guru KAFA yang hanya ingin dikenali sebagai Siti berkata, usaha kerajaan mengkaji isu perjawatan dan elaun guru KAFA sememangnya dinanti-nantikan.
Dia yang sudah 20 tahun menjadi guru KAFA berkata, pendapatan kira-kira RM1,000 sebulan tidak dapat menampung keperluan keluarga.
CEMERLANG
“Kami memang berharap pendapatan dapat dinaikkan dan mendapat perjawatan tetap bagi meringankan beban sekali gus terus memberikan perkhidmatan yang cemerlang bagi mendidik anak bangsa.
“Walaupun faktor gaji tidak menghalang melakukan kerja dengan baik namun kenaikan pendapatan sekurang-kurangnya dapat membantu meringankan beban dan menambahkan lagi semangat untuk bekerja,” katanya di sini semalam.
Kelmarin, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar dilaporkan berkata, antara syarat untuk mengubah nasib guru KAFA ialah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mengkehendaki masa bekerja mesti lima hari seminggu dengan lapan jam sehari.
Mohd. Na’im juga dilaporkan berkata, dengan memenuhi syarat masa bekerja tersebut ia adalah syarat asas untuk 35,000 guru KAFA menerima gaji dan bukan lagi elaun.
Beliau berkata, ketersediaan premis dijadikan tempat mengajar sepenuh masa, memperincikan modul KAFA, menilai implikasi kewangan kepada kumpulan guru itu sedang diperincikan kerajaan bagi menambah baik perjawatan tersebut.
BERAT
Seorang lagi guru KAFA dikenali sebagai Niza berkata, mereka berdepan tugas berat untuk memastikan murid-murid dapat menguasai pendidikan Islam dengan baik khususnya yang menduduki Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK).
“Kami juga menerima tekanan daripada ibu bapa yang sudah tentu mahukan anak-anak mereka mendapat keputusan UPKK yang baik memandangkan ia merupakan syarat untuk menyambung pelajaran di sekolah agama.
“Kami memang bekerja bersungguh-sungguh dan berharap kami dapat diberikan perhatian agar kami terus mampu menjalankan amanah diberi dengan baik,” katanya.
Presiden Kesatuan Kebangsaan Guru-Guru Agama Malaysia Barat (KKGAMB), Muhd. Fadhli Jusoh berkata, kenyataan Dr. Mohd. Na’im berhubung isu guru KAFA merupakan pendekatan realistik mengambil kira semua aspek yang berkaitan.
Namun begitu, beliau berkata, kerajaan harus melihat isu ini secara inklusif mengambil kira latar belakang sejarah yang berbeza dan kepentingan kepada umat Islam dan orang Melayu di negara ini.
“Harapan tinggi rakyat ingin melihat tindakan komprehensif dan menyeluruh dibuat demi kepentingan inklusif umat Islam dan orang Melayu. Kepentingan lain wajar diketepikan demi merungkai isu yang tidak berkesudahan ini,” katanya. – UTUSAN











