SEGAMAT: Dua warga emas menjadi korban terbaru bencana banjir di negeri ini.
Mayat kedua-dua mangsa ditemukan di kediaman masing-masing di Jalan Kongsai, Kampung Baru Chaah, di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Segamat, Superintenden Ahmad Zamry Marinsah berkata, masing-masing seorang wanita dan lelaki yang kedua-duanya berusia dalam lingkungan 70-an.
“Dua warga emas tersebut dipercayai berusaha menyelamatkan diri berdasarkan keadaan mayat kedua-duanya ketika ditemukan tetapi tidak berjaya keluar.
“Kedua-duanya menetap berseorangan dipercayai lemas dalam banjir yang melanda kediaman mereka dalam kejadian semalam.
“Berita kehilangan kedua warga emas itu dilaporkan keluarga masing-masing kira-kira pukul 8 pagi tadi selepas kedua-duanya gagal dihubungi,” katanya ketika ditemui di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat, di sini hari ini.
Menurut Ahmad Zamry, mangsa pertama seorang wanita ditemukan pada pukul 9 pagi, manakala mayat mangsa kedua pukul 11 pagi.
Mayat kedua-dua warga emas berkenaan kemudiannya dihantar ke Hospital Segamat untuk proses bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Semalam, seorang lelaki, K. Sarathkumar, 20-an, menjadi korban pertama banjir apabila kereta dinaikinya dihanyutkan arus deras di Paloh, Kluang. – UTUSAN