KLUANG: Penduduk di Jalan Penghulu Kassim, Kampung Melayu dekat sini terpaksa bangun pukul 3 pagi selepas diarahkan berpindah akibat kediaman mereka dinaiki air tengah malam semalam.
Justeru, ramai antara mereka hanya sempat membawa dokumen dan barang penting kerana tidak menyangka akan banjir selepas kali terakhir berlaku pada 2007.
Seorang mangsa, Mas Salvation Nurashikin Noor Salmon, 32, berkata, pada mulanya air hanya memenuhi longkang di hadapan rumah selepas pukul 9 malam menyebabkan mereka tidak menyangka akan melimpah sehingga ke dalam rumah.
Akibat kejadian mengejut itu, semua barang elektrik serta perabot tidak dapat diselamatkan apabila air memasuki rumah hingga paras lutut ketika mereka sedang tidur.
“Kami tidak membuat apa-apa persiapan kerana tidak berlaku banjir di kawasan perumahan ini bulan Januari baru-baru ini.
“Malah, kejadian terakhir hanya berlaku pada tahun 2006 dan 2007, iaitu banjir hanya berselang seminggu iaitu pada Disember dan Januari,” katanya ketika ditemui Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mahkota, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Kampung Melayu (SKKM), dekat sini.
Sementara itu, Abdul Talib Johari, 85, yang tinggal di Jalan Orked, Kampung Melayu berkata, keluarganya diarahkan berpindah kira-kira pukul 1 pagi selepas paras air semakin meningkat dan hujan tidak menunjukkan tanda-tanda akan berhenti malam semalam.
Tindakan pantas pasukan penyelamat daripada Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) memudahkan proses berpindah ke PPS walaupun dalam keadaan hujan lebat.
“Mungkin kerana hujan dalam tempoh yang lama, iaitu dua hari dua malam menyebabkan tempat-tempat yang sudah lama tidak berlaku banjir dinaiki air,” katanya. – UTUSAN