KANGAR: Sebanyak 260,989 kilogram atau lebih 260 tan metrik sampah dikutip khususnya di kawasan-kawasan pelancongan di seluruh negara dalam tempoh lima tahun lalu.
Data pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Pahlawan Sampah (Trash Hero) dari 2017 hingga 2022 menunjukkan mentaliti kelas rendah dan kurang kesedaran sivik masyarakat dalam aspek menjaga kebersihan tidak berubah.
Di Perlis contohnya, sepanjang lebih tiga tahun Trash Hero menjalankan aktiviti sukarelawan mengutip sampah, sebanyak 33.3 tan metrik atau lebih 33,000 kilogram sampah dikutip di kawasan pelancongan negeri itu.

– UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Koordinator Trash Hero Perlis, Rosnani Nazri berkata, menurut rekod NGO berkenaan, aktiviti mengutip sampah melibatkan 48,635 sukarelawan dengan 2,165 kegiatan pembersihan dilakukan dalam tempoh berkenaan.
Beliau yang juga pensyarah kanan Teknologi Marin Universiti Teknologi Mara (UiTM) Perlis berkata, kebanyakan sampah dikutip itu adalah seperti plastik, botol, bekas makanan, dan pelbagai jenis lagi.
“Trash Hero ialah gerakan global yang melakukan tindakan rutin ke arah mengurangkan pencemaran plastik. Kami membantu orang ramai mengurangkan plastik sekali guna mereka melalui program isi semula dan guna semula.
“Kami bekerja keras untuk mengumpul data yang boleh digunakan untuk mempengaruhi dasar global yang sesuai dengan visi kami,” kata beliau.
DIKUTIP
Menurut Rosnani, di Perlis, lokasi pelancongan seperti Kuala Perlis merekodkan jumlah tertinggi iaitu 22.8 tan metrik atau 22,800 kilogram sampah yang dikutip.
“Di lokasi-lokasi pelancongan utama negeri ini, sebanyak 30.7 tan metrik atau 30,700 kilogram sampah dikutip sepanjang tempoh 2019 hingga 2021.
“Ia melibatkan lokasi-lokasi seperti Bukit Ayer, Bukit Jernih, Empangan Timah Tasoh, Gua Sami, pesisir pantai Kuala Perlis dan banyak lagi kawasan-kawasan pelancongan lain,” katanya.
Jelas beliau, dengan jumlah sampah itu membuktikan segelintir pengunjung membuang sampah di tempat sepatutnya masih kurang.
“Walaupun pelbagai inisiatif dan kempen dilakukan namun masyarakat juga perlu mengubah mentaliti dan berdisiplin supaya tidak membuang sampah sesuka hati,” katanya.
POLISI, DASAR ASING SAMPAH
Pengurusan sisa pepejal di negara ini disifatkan berada dalam keadaan rumit dan kritikal dengan kebanyakan pusat pelupusan sampah sentiasa penuh atau melimpah sekali gus memerlukan kaedah terbaik dalam menyelesaikan isu berkenaan.
Antara alternatif terbaik sebelum ini ialah dengan mewujudkan Loji Rawatan Termal (insinerator) bagi melupuskan sisa pepejal kerana ia membabitkan ruang yang kecil berbanding tapak pelupusan sampah sedia ada yang memerlukan ruang yang luas agar dapat mengurangkan masalah bau dan isu air larut resap ke dalam tanah.
Bagaimanapun, kebanyakan loji insinerator atau loji pembakaran sampah waste-to-energy (WTE) masih berdepan masalah untuk melupuskan sampah basah secara sempurna, selain isu pencemaran alam sekitar membabitkan pelepasan gas beracun yang melebihi kadar sepatutnya sekali gus melanggar piawaian Jabatan Alam Sekitar (JAS) serta penghasilan bahan kimia berbahaya.
Antara langkah dalam menangani isu kapasiti tempat pengumpulan sampah itu adalah seperti kerajaan perlu mewujudkan polisi atau dasar pengasingan sampah agar tidak semua bahan sisa pepejal berkenaan dibuang di tapak pelupusan sampah yang semakin padat.
Rosnani menambah, pengasingan sampah tersebut perlu bermula dari rumah atau mana-mana kilang atau industri dengan sisa dan bahan yang boleh dikitar semula diasingkan.
“Polisi atau dasar itu perlu diterapkan memandangkan kempen sedia ada dilihat tidak berkesan dan negara-negara maju lain juga sudah membuat langkah tersebut. Bahan-bahan seperti kertas, kaca, plastik atau lain-lain yang boleh dikitar semula asingkan dan tidak dicampurkan.
KOMPOS
“Selain itu, sisa sampah dijadikan baja kompos daripada biarkan sampah kita terbiar. Kita tidak mahu sampah semata-mata berakhir di tapak pelupusan sampah,” katanya.
Kata Rosnani lagi, beberapa negara Eropah adalah contoh terbaik dalam penyelesaian pengurusan sisa sampah dunia termasuk dalam aspek kitar semula.
Katanya, antaranya seperti Jerman, Austria dan Belgium adalah tiga negara yang menunjukkan prestasi terbaik dalam kitar semula meskipun kaedah tersebut bukanlah satu-satunya penunjuk sistem pengurusan sisa yang canggih dan berfungsi dengan baik.
Switzerland pula katanya, adalah satu-satunya negara yang tidak menghantar sebarang sisa ke tapak pelupusan.
“Menurut Global Waste Index 2022, Switzerland menghasilkan 706 kilogram sisa per kapita, di mana 333 kilogram dibakar dan 210 kilogram dikitar semula.
“Jerman pula dengan keberkesanan dan kejuruteraan bertaraf dunia ini mempunyai kadar kitar semula tertinggi di dunia iaitu 70 peratus daripada semua sisa yang dihasilkan.
“Jerman mencapai matlamat tersebut melalui polisi dan dasar negara mengenai sisa, syarikat bertanggungjawab ke atas pembungkusan mereka yang boleh dikitar semula atau tidak, apabila pengguna membeli barangan mereka kemudian syarikat bertanggungjawab untuk proses pelupusan,” katanya.
TAMPUNG 200 METRIK TAN SAMPAH
Sementara itu, tapak Pelupusan Sisa Pepejal Sanitari Rimba Mas di Padang Besar dapat mengumpul sebanyak kira-kira 200 metrik tan sampah pada setiap hari di seluruh Perlis.
Tapak pelupusan itu yang mula beroperasi bagi fasa satu pembinaannya pada 2016 itu dijangka dapat digunakan sehingga tahun 2040 bagi menampung kutipan sisa pepejal dari seluruh Perlis.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Fakhrul Anwar Ismail berkata, buat masa itu, pusat pelupusan itu masih bertahan malah terdapat lagi ruang kawasan yang disediakan bagi pelaksanaan fasa kedua tapak berkenaan.
“Berdasarkan maklumat Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) negeri, pusat pelupusan itu masih dapat menampung sisa pepejal yang dikutip oleh operator dan masih ada kawasan untuk pelaksanaan tapak bagi fasa kedua nanti,” katanya.
Dalam pada itu, Fakhrul Anwar berkata, pusat pengumpulan sampah yang berkeluasan 30 hektar itu juga turut mempunyai beberapa kemudahan disediakan dan dikategorikan sebagai tapak pelupusan sanitari tahap 4.
Katanya, selain mempunyai kemudahan sel sisa domestik, organik dan sisa pukal, pusat pelupusan itu juga turut disediakan Loji Rawatan Air Larut Resap dalam memastikan sistem pengurusan sampah yang lebih efisien.
“Tapak pelupusan ini sentiasa diselenggara untuk membolehkan setiap sisa pepejal dapat diuruskan dengan baik bagi menggelakkan isu seperti pencemaran bau dan sebagainya,” katanya.
PENGURUSAN SAMPAH DI PULAU LEMAH
Di Sabah, masalah pengurusan sampah tidak teratur bukan hanya dihadapi oleh penduduk yang tinggal di daratan malah ia menjadi isu utama kepada penduduk di pulau-pulau seluruh negeri tersebut.

Peralihan kepada penggunaan insinerator atau loji rawatan termal berskala besar bagi melupuskan sampah mungkin satu kaedah terbaik jika dilaksanakan di kawasan darat namun, tidak sesuai bagi mereka yang tinggal di pulau.
Sehingga hari ini, tiada sistem pengurusan sampah atau sisa pepejal yang baik diguna pakai oleh penduduk yang tinggal di kepulauan.
Pengurus Program Reef Check Malaysia (RCM), Muhammad Adzmin Fatta berkata, pengurusan sampah di pulau berhadapan cabaran dari pelbagai faktor termasuk tanah, akses bekalan elektrik, penyelenggaraan serta impak terhadap alam sekitar.
“Pada masa ini, RCM sedang bekerjasama dengan komuniti di Pulau Mantanani, Kota Belud dan Pulau Larapan, Semporna bagi memperkenalkan sistem kutipan sampah dari rumah ke rumah.
“Melalui program ini, penduduk kampung akan belajar cara mengasingkan sampah mengikut kategori bagi memudahkan ia dibawa keluar dari pulau untuk dikitar semula di daratan,” katanya.
Pada tahun lalu, jumlah sampah yang dibawa keluar dari Pulau Mantanani adalah 62,205.6 kilogram manakala, sebanyak 10,471 kilogram dibawa keluar dari Pulau Larapan.
Menurut beliau, berdasarkan kajian RCM, sehingga 2022, kebanyakan pulau-pulau di Sabah tidak mempunyai pengurusan sampah yang baik hingga menyebabkan penduduk pulau terpaksa membuang sampah ke laut atau membakarnya.
TERKUMPUL
“Bagi penduduk pulau, mungkin itu sahaja pilihan untuk mengelakkan sampah terkumpul terlalu banyak.
“Hasil kajian RCM mendapati kutipan sisa pepejal dari pulau tidak efisien kerana tiada kutipan sampah berjadual disediakan. Malah, dalam kes tertentu, tiada tempat pengumpulan khas untuk penduduk membuang sampah,” katanya.
Oleh itu, kata Adzmin sudah tiba masanya pihak berkuasa tempatan (PBT) mengadakan sesi dialog dengan pihak berkepentingan termasuk penduduk kampung untuk selaraskan sistem kutipan sampah di pulau-pulau.
Dalam pada itu, langkah lain yang boleh diambil adalah mendidik komuniti pulau untuk mengurangkan penggunaan barangan sekali guna manakala, sisa buangan makanan pula harus dijadikan baja kompos tanpa perlu dibuang ke kawasan daratan.
SWASTA TAMBAH BAIK SISTEM
Di Kelantan, kerja-kerja pelupusan sampah di Kampung Kok Bedollah, Tumpat yang tidak ‘terurus’ sebelum ini kembali kemas sejak pengurusan diambil alih oleh pihak swasta.
Tinjauan mendapati, tiada lagi pembakaran terbuka manakala sisa-sisa buangan itu tidak lagi disepahkan oleh pencari sampah yang mencari rezeki di kawasan tersebut.
Seorang pengutip sampah, Abdullah Yusof, 60, berkata, tapak pelupusan dilihat lebih bersih dan sistematik sejak awal tahun ini.
Menurutnya, sebelum ini sampah tersebut tidak ditimbus dengan sempurna dan menyebabkan kawasan itu akan menjadi becak setiap kali hujan termasuklah terbakar sendiri pada musim kemarau.
“Setiap hari sampah diratakan oleh jentolak dan tidak berlaku ‘kesesakan’ sampah sehingga menggunung.
“Keadaan itu menjadikan kawasan ini lebih tersusun kebelakangan ini,” katanya.
Sementara itu, pemandu lori sampah yang mahu dikenali sebagai Zaidi berkata, penggunaan jentolak berantai memudahkan kerja-kerjanya untuk membawa masuk sampah ke tapak tersebut.
Katanya, sampah yang dibuang dari lori terus diratakan dan ini tidak berlaku ‘kesesakan’ sampah di sini.- UTUSAN










