PUTRAJAYA: Pendengaran rayuan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan anak lelakinya, Datuk Mohd. Nazifuddin berhubung tuntutan tunggakan cukai berjumlah lebih RM1.7 bilion kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang dijadualkan pada 13 Mac ini telah ditangguh ke Jun ini.
Menurut peguam, Wee Yeong Kang yang mewakili Najib tarikh pendengaran itu ditukar kepada 14 Jun ini berikutan penjadualan semua oleh Mahkamah Persekutuan.
Tambahnya, rayuan itu akan didengar melalui aplikasi Zoom.
Peguam terbabit memaklumkan perkara tersebut kepada media ketika dihubungi selepas pengurusan kes itu di hadapan Timbalan Pendaftar, Suhaila Haron hari ini.
Pada Julai 2020, dua Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan LHDN untuk memasukkan penghakiman terus bagi mendapatkan semula tunggakan cukai sebanyak RM1.69 bilion daripada Najib dan RM37.6 juta daripada Nazifuddin, bagi tempoh antara 2011 dan 2017.
Penghakiman terus adalah apabila mahkamah memutuskan kes tertentu melalui hujahan tanpa mendengar keterangan saksi dalam perbicaraan.
Najib dan Nazifuddin gagal dalam rayuan mereka di Mahkamah Rayuan pada September 2021 bagi mengetepikan penghakiman terus itu atas alasan rayuan tersebut tidak mempunyai sebarang merit dan tiada kekhilafan yang harus diperbetulkan oleh mahkamah itu.
Pada 10 Mei 2022, Najib dan Nazifuddin diberi kebenaran untuk meneruskan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan permohonan LHDN memasukkan penghakiman terus itu bagi mendapatkan semula lebih RM1.7 bilion cukai tertunggak daripada mereka.
Kebenaran itu diberikan selepas Najib dan anaknya itu berjaya memenuhi keperluan Seksyen 96(a) dan (b) Akta Mahkamah Kehakiman 1964.
Seksyen 96A dan B akta tersebut menyatakan rayuan daripada Mahkamah Rayuan ke Mahkamah Persekutuan boleh dilakukan sekiranya penghakiman yang diputuskan sebelum ini melibatkan soal prinsip am yang diputuskan buat pertama kali atau soal penting yang akan memberi kebaikan kepada awam dan akan memberi kesan ke atas mana-mana peruntukan Perlembagaan Persekutuan termasuklah kesahan undang-undang bertulis.
Pada 25 Jun 2019, kerajaan menerusi LHDN memfailkan saman terhadap Najib menuntut beliau membayar RM1.69 bilion bagi cukai pendapatan yang belum dibayar, kadar faedah lima peratus setahun dari tarikh penghakiman, kos dan relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.
LHDN, melalui kerajaan Malaysia juga memfailkan writ saman terhadap Mohd. Nazifuddin pada 24 Julai 2019, mendakwa anak lelaki Najib itu masih belum membayar cukai untuk tahun taksiran dari 2011 hingga 2017 berjumlah RM37,644,810.73 seperti yang dinyatakan melalui notis taksiran bertarikh 15 Mac 2019.-utusan
Habis…