PUTRAJAYA: Kerajaan bersetuju mengurangkan cukai taksiran kepada pemilik 2,700 kediaman strata dan teres di Putrajaya yang siap dibina selepas 2017 sebanyak lima dan 20 peratus berkuat kuasa mulai 1 Julai ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pengurangan cukai fasa dua itu dibuat selepas mengambil kira keluhan pemilik harta selain rumah mampu milik di sini bahawa cukai yang dikenakan agak tinggi berbanding kawasan sekitarnya.
“Pengurangan cukai taksiran fasa dua kepada pemilik kediaman strata (selain rumah mampu milik) sebanyak lima peratus dan kediaman teres 20 peratus.
“Pengurangan cukai ini diberikan kepada kediaman yang siap dibina selepas tahun 2017, yang mana potongan diberikan terhadap jumlah cukai taksiran yang dikenakan.
“Ia melibatkan sejumlah hampir 2,700 unit kediaman strata dan teres yang siap dibina selepas tahun 2017 yang akan mula dilaksana mulai 1 Julai 2023 sehingga penilaian semula oleh Perbadanan Putrajaya,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Menurut Anwar, pengurangan itu juga selaras dengan aspirasi Malaysia Madani melalui elemen ihsan yang seterusnya dapat dipanjangkan kepada ruang lingkup lebih luas bagi mengurangkan beban yang ditanggung penduduk dalam mendepani kos sara hidup khususnya kepada golongan M40 yang memiliki kediaman strata dan teres di Putrajaya.
Pada 22 Disember tahun lalu, Anwar mengumumkan pengurangan cukai diberikan kali pertama kepada premis kediaman yang siap dibina pada 2017 sehingga kini dan melibatkan hampir 8,500 unit kediaman.
Ia melibatkan semua pemilik kediaman berharga bawah RM300,000 di Putrajaya diberikan potongan cukai taksiran 30 peratus mulai awal Januari lalu. – UTUSAN










