PETALING JAYA: Uqasha Senrose tidak menolak cemburu menjadi antara motif seorang individu menyerang suaminya yang juga pelakon lelaki Kamal Adli sehingga cedera parah, di Singapura, semalam.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Uqasha berkata, suspek yang telah ditahan serta merta di tempat kejadian itu mendakwa telah dihantar oleh kumpulan samseng di Johor Bahru.
“Mula-mula dia dakwa diupah oleh kumpulan samseng untuk menyerang, memukul dan mencederakan Kamal. Selepas ditanya semula, dia mendakwa cemburu kerana Kamal berkahwin dengan saya.
“Saya sendiri tidak tahu motif sebenar serangan itu. Saya terkejut. Dalam pada masa sama, ketakutan kerana dia mengugut untuk menyerang saya dan ahli keluarga lain berulang kali.
“Buat masa ini, kami telah mendapatkan perlindungan polis dari kedua-dua negara,” kongsi pelakon itu.
Terdahulu, Kamal diserang individu tidak dikenali ketika sedang bergambar bersama peminat di sebuah acara ekspo di Singapura.
Kamal dipukul di bahagian kepala dan pipi berkali kali menggunakan cota. Individu tersebut juga mengugut untuk mencederakan Uqasha serta adik-beradiknya.
Kejadian mengejutkan itu berlaku secara tiba-tiba dan suspek sudah diberkas selepas orang ramai menahan individu tersebut.
Dalam pada itu, Uqasha menerusi media sosial berkongsi tangkap layar pesanan Whatsapp daripada individu tidak dikenali mengugut untuk membunuh Kamal.
Kongsi pelakon wanita itu, individu tersebut dipercayai sudah lama merancang untuk mencederakan suaminya.
“Pesan sama Kamal Adli, aku mesti bunuh dia. Aku mesti seksa dia habis-habisan okey,” ujar individu tersebut.
Sementara itu, pelakon Setelah Terlafaznya Akad itu juga memaklumkan Kamal sudah sedar selepas menjalani pembedahan.
“Alhamdulillah, Kamal dah sedar dan masih mamai. Harap semua doakan keselamatan kami dan juga keselamatan kalian, akhir zaman.
“Kamal ditidurkan untuk jalani pembedahan dan jahitan di kepala. Mohon jangan putar belit kenyataan dan sebar salah faham kepada umum,” katanya. – UTUSAN










