Bunuh pemandu Grab, dua warga asing diperintah bela diri

Bunuh pemandu Grab, dua warga asing diperintah bela diri

SUA Lay dan Gurpreet Singh didakwa atas pertuduhan membunuh seorang pemandu Grab lima tahun lalu di Mahkamah Shah Alam, Selangor, semalam. – UTUSAN/SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi di sini semalam memerintahkan dua lelaki warga asing mem­bela diri atas pertuduhan membunuh seorang pemandu Grab lima tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman Nurulhuda Nur’aini Mohamad Nor membuat keputusan itu selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie ke atas tertuduh, Sua Lay, 38, dan Gurpreet Singh, 28.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua warga Myanmar dan India itu didakwa dengan niat bersama membunuh Aiman Nosri, 27, di parkir Taman Sela­yang Makmur, Batu Caves pukul 10.08 malam, 21 Jun 2018.https://www.utusan.com.my/?s=mahkamah

Kesalahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan itu memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Nurulhuda dalam penghakimannya berkata, mahkamah berpuas hati dengan elemen penemuan asid deoksiribonukleik (DNA) seorang daripada tertuduh di tempat kejadian.

“Keterangan melibatkan tertuduh juga didapati memandu arah bagi penemuan kunci kereta si mati. Selain itu, anggaran kasar tempoh kematian antara satu atau hari adalah bersesuai­an dengan pertuduhan dikemukakan pendakwaan,” katanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohammed Heikal Ismail manakala Sua Lay diwakili peguam Datuk Rajpal Singh dan Gurpreet oleh peguam Muhamad Amirul Jamaluddin.

Kedua-dua tertuduh memilih memberi keterangan bersum­pah pada prosiding pembelaan yang ditetapkan pada 9, 16,17 dan 18 Mei ini.

Sua Lay yang juga pemegang Kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) bekerja sebagai penjual sayur manakala Gurpreet merupakan kelindan lori.

Media sebelum ini melaporkan kehilangan seorang pemandu Grab terungkai ditemui mati dalam sebuah kereta Perodua Myvi miliknya di parkir kawasan perumahan tersebut.

Mayat mangsa berasal dari Nilai, Negeri Sembilan itu ditemui terlungkup di tempat duduk penumpang belakang, kira-kira pukul 8.20 malam, 23 Jun 2018 iaitu selepas dua hari dilaporkan hilang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN