KUALA TERENGGANU: Berbuka puasa atas bot sambil menyusuri Sungai Terengganu menjadi tarikan terbaharu ditawarkan anak syarikat Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT), Cas Ligas Sdn. Bhd. (Cas Ligas) kepada pelancong pada musim Ramadan kali ini.
Pengerusi Cas Ligas, Zakaria Dagang berkata, perkhidmatan tersebut adalah inisiatif syarikat dalam menambah tarikan pelancongan untuk pengunjung yang mahukan kelainan dan mencipta suasana istimewa bersama keluarga dan rakan-rakan.
Menurutnya, pengunjung akan menaiki bot teksi air Payang Water Taxi untuk menikmati pemandangan semula jadi sehingga sampai berdekatan Jambatan Angkat Kuala Terengganu.
Katanya, sepanjang berada atas bot, pengunjung berpeluang melihat percikan bunga api daripada bedilan meriam di puncak Bukit Pak Apil di sini sebaik masuk waktu Maghrib untuk berbuka puasa.
“Mereka akan dijamu pelbagai jenis lauk tradisional menggunakan bekas tenong (mangkuk tingkat) yang pernah popular zaman dahulu.
“Nasi tenong dihidangkan bersama ikan baung masak tempoyak, ulam-ulaman dan buah-buahan. Pengunjung juga boleh memilih juadah lain seperti nasi berlauk sayur lemak dan juadah istimewa nasi Arab,” katanya.
Harga hidangan nasi tenong serendah RM35 untuk seorang termasuk pakej menyusuri Sungai Terengganu bersama bot Payang Water Taxi.
Selain itu, pengunjung yang datang juga boleh membawa juadah sendiri untuk pakej berbuka puasa di atas bot dengan caj RM15 untuk dewasa dan RM10 untuk kanak-kanak.
Beliau berkata, setakat ini sambutan diterima menggalakkan daripada jabatan dan agensi kerajaan serta swasta.
Sehubungan itu, kata Zakaria, orang perseorangan dan syarikat korporat yang ingin meraikan kakitangan berbuka puasa dengan pengalaman istimewa di atas bot boleh mencuba kelainan di Cas Ligas. – UTUSAN










