Beras untuk pelajar tahfiz ditenggelami banjir - Utusan Malaysia

Beras untuk pelajar tahfiz ditenggelami banjir

MOHAMMAD AFDHALUDDIN menunjukkan kitab yang terjejas ekoran banjir yang melanda MTAJ.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI: Satu tan bekalan beras yang sepatutnya menjadi bekalan bagi pelajar Maahad Tahfiz Al Jauhar (MTAJ) di Kampung Lukut, di sini antara yang rosak ditenggelami banjir yang melanda, Rabu lalu.

Pengetuanya, Mohammad Afdhaluddin Ismail berkata, selain bekalan makanan yang disimpan di stor, al-Quran, kitab, buku dan komputer turut terjejas dalam kejadian itu.

Ekoran itu MTAJ menanggung kerugian kira-kira RM40,000 selepas tidak sempat menyelamatkan barangan berkenaan susulan banjir berlaku dengan pantas.

“Kejadian pada empat hari lepas kira-kira pada pukul 2.20 pagi. Banjir kali ini adalah yang paling teruk berikutan air memasuki kesemua ruangan termasuk asrama, bilik guru, pejabat pentadbiran, perpustakaan, dapur dan dewan makan, dengan paras air sehingga betis, sebelum surut semula pada 5 pagi.

“Ketika kejadian saya berada di Kuala Lumpur dan menerima pesanan WhatsApp daripada kakitangan memberitahu air naik terlalu cepat kerana sebelum 15 minit kejadian, warden sempat membuat rondaan.

“Kita syak kepala air kerana belakang maahad ada parit, dan banjir kali ini yang terburuk kerana sebelum ini tidak masuk ke semua ruangan termasuk dapur,” katanya ketika ditemui, di sini.

Mohammad Afdhaluddin berkata, ketika kejadian terdapat 140 pelajar lelaki termasuk 20 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang menduduki peperiksaan di Sekolah Menengah Kebangsaan Kota Jaya, di sini.

Kesemua pelajar selamat dan dikumpulkan di surau, manakala calon SPM terbabit diuruskan ke dewan peperiksaan secara berperingkat-peringkat dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kota Tinggi.

“Pihak kita mengalu-alukan orang ramai menyalurkan sumbangan berikutan bekalan makanan seperti beras dan gula merupakan antara barangan keperluan yang diperlukan ketika ini.

“Kelmarin ada beberapa pihak termasuk NGO bantu, setakat ini keutamaan kita yang paling berat dan penting sekali adalah bekalan makanan untuk pelajar.

“Kerana kos makanan kita besar, beras sahaja kita perlu hampir dua tan sebulan, kita jemput untuk sesiapa yang ingin beri sumbangan terutamanya beras antara yang kritikal dan diperlukan,“ katanya.

Orang ramai yang mahu memberi sumbangan boleh disalurkan menerusi akaun Maybank Maahad Tahfiz Al Jauhar 551070426214 atau menghubungi talian 019-2441406. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya