Bekalan sayur cukup semasa Ramadan, kenaikan harga tak ketara - Mohamad - Utusan Malaysia

Bekalan sayur cukup semasa Ramadan, kenaikan harga tak ketara – Mohamad

MOHAMAD SABU (tengah) bergambar dengan penerima Bantuan Nelayan Pengerang di Kompleks LKIM Pengerang, Kota Tinggi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI: Walaupun berlaku pengurangan bekalan ekoran banjir melanda negeri ini, namun Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memberi jaminan sayur-sayuran mencukupi sepanjang bulan Ramadan ini.

Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata,  Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) telah mengadakan pertemuan dengan pengeluar sayur-sayuran di kawasan utama di negeri ini yang mengakui memang terdapat penurunan pengeluaran sehingga 30 peratus ekoran banjir yang berlaku.

Walau bagaimanapun, mereka kini sudah mula melakukan penanaman semula ekoran banjir yang telah surut, manakala kerajaan negeri juga mengambil inisiatif membuat jualan hasil pertanian pada harga diskaun melalui  Bazar Rakyat Agro Johor.

“Bazar berkenaan akan beroperasi di 35 lokasi terjejas banjir yang melibatkan kerjasama antara FAMA, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dan pihak swasta. Dari segi harga pula didapati peningkatan tidak ketara ekoran bekalan sayur-sayuran diperoleh dari negeri lain seperti Selangor dan Negeri Sembilan. 

“FAMA juga ada import dari Cameron Highlands, bawa tomato juga produk-produk berbentuk biji bukan sayur berdaun jadi tak perlu risau, di Johor kita juga ada bazar rakyat agro Johor yang akan berada selama 30 hari sepanjang Ramadan.

“Insya-Allah dijamin (cukup) pihak FAMA akan bawa (bazar rakyat agro) ke tempat-tempat lain untuk penuhi permintaan pada bulan Ramadan,” katanya selepas menyampaikan Bantuan Nelayan Pengerang di Kompleks LKIM Pengerang, dekat sini hari ini yang turut dihadiri Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said.

Dalam pada itu, Mohamad Sabu yang juga Ahli Parlimen Kota Raja berkata, anggaran jumlah kerugian pertanian akibat banjir di Johor akan diperoleh dalam tempoh sebulan selepas banjir pulih.

“Kerugian sedang dibanci, pihak Agensi Pengurusan Bencana Kebangsaan (Nadma) sedang bantu pihak Kementerian Luar Bandar, Kementerian Pertanian, FAMA sedang buat kajian. Nanti kita lihat kerosakan dan permohonan mereka,” katanya 

Terdahulu pada majlis itu Mohamad Sabu turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM29 juta bagi menaik taraf infrastruktur di Kompleks LKIM Pengerang yang dijangka akan dimulakan tahun ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN