Badan khas siasat salah laku semua penguat kuasa - Utusan Malaysia

Badan khas siasat salah laku semua penguat kuasa

Anwar Ibrahim ketika memasuki bangunan Parlimen untuk Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen Ke-15 semalam. – Utusan/JABATAN PENERANGAN MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Peguam Negara mengkaji cada­ngan mewujudkan badan bebas untuk menyiasat dan mengambil tindakan ke atas semua aduan, tuduhan dan salah laku membabitkan semua agensi pe­nguatkuasaan.

Perdana Menteri berkata, me­­kanisme tersebut bagi memastikan agensi penguatkuasaan yang terlibat dalam kes sa­lah laku tidak menyiasat sendiri secara dalaman mana-mana kes atau aduan diterima membabitkan pegawai atau anggota mereka.

Menurut beliau, semua ba­dan tersebut akan menyiasat semua agensi seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Jaba­tan Imigresen dan Suruhanjaya Pen­­cegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Saya telah minta Peguam Negara kaji semula cadangan awal supaya ada mekanisme untuk semua badan penguatkuasaan kalau ada pertuduhan khas terhadap pegawai SPRM, imigresen, polis, kastam, maka ada badan bebas, (mungkin) dalam bentuk suruhanjaya.

“Peguam Negara akan kemukakan cadangan supaya badan penguat kuasa tidak menyiasat sendiri, tapi ada badan lain yang bebas menyiasat. Perkara ini saya rasa tidak begitu sukar kerana ada cadangan awal,” kata Perdana Menteri.

Beliau menjawab soalan Gobind Singh Deo (PH-Damansara) berhubung kenyataan Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahya yang mendedahkan tahap korupsi dalam kalangan penguat kuasa semakin kronik.

WARGA ASING

Ahmad Khusairi menyatakan antara punca rasuah tersebut susulan kebanjiran warga asing yang memberi peluang besar terhadap segelintir penguat kuasa tidak berintergriti untuk membuat duit menerusi perbuatan rasuah.

Anwar berkata, cadangan penubuhan badan bebas ketika ini dilihat wajar kerana lebih menyeluruh dan boleh mengambil tindakan terhadap semua aduan membabitkan badan pengkuatkuasaan.

Kata beliau, sebelum ini ada pihak mempertikai mengapa hanya diwujudkan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) bagi menyiasat salah laku anggota polis sedangkan perbuatan itu turut melibatkan semua agensi penguat kuasa.

Sementara itu, menjawab soalan tambahan Sim Tze Tzin (PH-Bayan Baru), Perdana Menteri berkata, pemberian derma politik dan suapan rasuah daripada pemberian adalah dua perkara berbeza seperti pertuduhan membabitkan Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Berhubung soal Pagoh tadi, ini bukan soal pendanaan politik. Itu pertuduhan kalau kita tengok, kalau kaitan kontrak diberikan. Satu parti, diberikan wang ia terlepas, tetapi kalau parti dapat wang akibat kontrak diberikan, itu masuk kategori rasuah.

“Jadi ia harus dibezakan, kerana ramai salah faham soal ini dengan mengatakan parti boleh terima dana, ia betul. Dalam keadaan undang-undang sekarang, parti boleh terima, tetapi saya luluskan satu syarikat beberapa juta, kemudian dia derma ke parti saya atau akaun peribadi atau akaun syarikat, nak kata pertuduhan itu zalim itu tidak munasabah,” katanya.

Kata Anwar lagi, pada dasar­nya kerajaan bersetuju dengan cadangan penggubalan Akta Pendanaan Politik dan perkara itu di peringkat Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi). – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×