PERTARUNGAN jawatan ketua UMNO bahagian di negeri ini bukan sahaja sengit dengan kemunculan pemimpin lama menawarkan diri, malah diwarnai penyertaan individu berusia lebih muda bagi jawatan nombor satu di peringkat bahagian itu.
Walaupun secara tradisi mereka yang berumur sekitar 40-an mahu terus menerajui sayap Pemuda UMNO, namun situasi itu berbeza dengan tiga calon ketua bahagian yang melangkah lebih jauh termasuk anak bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak iaitu Datuk Mohd. Nazifuddin.
Nazifuddin, 39, membuat kejutan apabila selain bertarung bagi jawatan Naib Ketua Pemuda UMNO pusat, beliau turut menawarkan diri jawatan Ketua UMNO Bahagian Langkawi yang kini kosong setelah penyandangnya, Datuk Ir. Nawawi Ahmad meninggal dunia, November lalu.
Nazifuddin yang akan bertembung dengan pemangku Ketua UMNO Bahagian Langkawi, Nor Saidi Nanyan berkata, demokrasi masih hidup dalam UMNO dan sewajarnya calon-calon yang bertanding membiarkan perwakilan membuat pilihan masing-masing.
Sementara itu, calon Ketua UMNO Bahagian Kuala Kedah, Mohd. Zamil Zubir, 38, memutuskan untuk menawarkan diri bagi jawatan itu kerana mahu meremajakan UMNO bahagian berkenaan, meskipun berdepan pertandingan empat penjuru.
“Beberapa ahli mencadangkan saya untuk bertanding jawatan Ketua Pemuda yang mana saya dikatakan ada peluang lebih besar untuk menang, tetapi saya mahu bawa perubahan serta meremajakan Kuala Kedah dan satu-satunya cara adalah dengan memegang jawatan ketua bahagian,” katanya.
Walaupun mengakui cabaran yang sukar kerana tidak memegang sebarang jawatan dalam parti, Mohd. Zamil yang juga arkitek kini bergantung kepada aspirasi perwakilan untuk melihat perubahan di Bahagian Kuala Kedah.
“Saya lahir di Kedah. Datuk saya ahli UMNO dan bapa saya ahli jawatankuasa UMNO Bahagian Kuala Kedah. Ketika membesar saya mengikut bapa di seluruh kawasan untuk berkhidmat kepada ahli dan masyarakat, kini giliran saya menyumbang kepada parti,” katanya.
Dalam pada itu, Khairul Nizam Mohd. Rodzi, 42, berkata, beliau bukan tidak menghormati Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Seri Jamil Khir Baharom apabila memutuskan untuk bertanding jawatan Ketua UMNO Bahagian Jerai yang disandang Jamil Khir.
Sebaliknya, penyandang Ketua Pemuda UMNO Jerai selama dua penggal itu berkata, sudah tiba masanya untuk beliau membawa suara dan aspirasi akar umbi parti yang dambakan perubahan dalam kepimpinan bahagian.
Katanya, UMNO amat memerlukan perubahan berikutan prestasi buruk pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang diadakan pada November lalu selain bakal menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.
“UMNO memerlukan darah baharu untuk meremajakan parti. Untuk melakukan itu kita perlu memulihkan keyakinan dalam kalangan ahli di peringkat cawangan dan bahagian. Kemudian, hanya kita boleh bercakap tentang menarik ahli baharu dan mendapatkan semula sokongan daripada orang ramai di luar sana,” katanya. – UTUSAN










